Berita

Kit Siang ‘bingung’ polis mahu siasatnya di bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang ‘bingung’ dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ingin menyiasatnya di bawah Akta Hasutan 1948, ekoran artikelnya berhubung kematian Teo Beng Hock.

Beliau mempersoalkan di bahagian manakah dalam artikelnya itu yang berbaur hasutan sehingga polis ingin menyiasatnya.

“Khalid mungkin berharap untuk mencari korban kedua di kalangan pemimpin DAP untuk dibuang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan dipenjarakan kerana akta hasutan selepas mendiang Karpal Singh (awal tahun ini),” katanya lagi, merujuk kepada hukuman yang dijatuhkan kepada Karpal ekoran kenyataannya berhubung rampasan kuasa kerajaan Pakatan Perak pada tahun 2009.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu tidak menolak kemungkinan beliau kini menjadi pemimpin DAP kedua disasarkan Khalid, selepas bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh dijatuhkan hukuman denda RM4,000 di bawah akta yang sama.

Khalid semalam memaklumkan polis akan akan menyiasat Kit Siang berhubung artikel bertajuk ‘Malaysians will not rest until justice is done for the killing of Teoh Beng Hock’ 16 Julai lalu, yang menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock yang meninggal dunia selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Khalid turut menuduh Kit Siang cuba mempengaruhi fikiran rakyat bahawa setiausaha politik Exco Selangor itu dibunuh apabila mempersoalkan mengapa pihak yang terlibat dalam kejadian itu masih belum ditangkap.

Mengulas dakwaan itu, Kit Siang menyarankan Khalid agar membaca semula laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu itu yang jelas membayangkan kematian Beng Hock berpunca daripada pegawai SPRM.

“RCI mendapati pegawai SPRM bertindak secara sewenang-wenangnya dan mengabaikan undang-undang, menyebabkan kematian Beng Hock, dan kemudian berpakat untuk menutup kebenaran dengan memberikan bukti palsu.

“Bolehkah Khalid menjelaskan mengapa polis tidak menjalankan siasatan terhadap pegawai SPRM terbabit?” soalnya.

Lebih malang, katanya lagi, tiga pegawai SPRM yang terlibat terlepas daripada sebarang tindakan disiplin oleh Pasukan Siasatan Khas SPRM ketika ulang tahun kelima insiden itu.

“Ia adalah pengumuman yang paling memeranjatkan. Bukan sahaja keluarga mendiang, malah seluruh rakyat Malaysia patut mendapat penjelasan penuh bagaimana mereka boleh dilepaskan begitu sahaja, tanpa menerima sebarang hukuman.

“Terutama selepas polis yang terkenal dengan sikap pasif dan membisu apabila ada NGO dan individu ekstremis mengancam dan mengeluarkan kenyataan membangkitkan kebencian agama, termasuk ancaman insiden 13 Mei yang sudah diulang tiga kali pada tahun ini,” katanya lagi. – Roketkini.com