Rencana

Yang mana satu pilihan Kiki?

anakmamidiperantauanNama Kiki terus jadi bualan ramai. Meski sudah dijatuhkan hukuman walaupun mangsa bulinya sudah memaafkan, belum selesai lagi penghakiman orang ramai terhadapnya. Meluat dan marah banyak orang bahkan kian menebal setiap kali video amuknya itu diulang tayang dan dirujuk dalam setiap laporan berita tentangnya.

Mereka yang paling rasis sekalipun tidak mampu menerima kelaku Kiki terhadap Uncle Sim itu. Tidak kena dengan pembawaannya sebagai gadis Melayu untuk membentak seorang warga emas yang kelihatan tenang menerima maki hamun yang dilemparkannya di waktu bulan puasa, hanya kerana calar yang sedikit cuma.

Pun begitu, pertubuhan ultra Melayu, Perkasa tidak mahu kalah dan terasing daripada sensasi gadis kunci stereng ini. Ia bingkas menubuhkan tabung derma demi membantu ‘meringankan beban’ si Kiki yang diperintah membayar denda RM5000 serta khidmat masyarakat 240 jam oleh Mahkamah Sesyen Kuantan.

Kita tidak tahu apa kena-mengena kutipan dana ini dengan tujuannya yang dilaporkan media sebagai “memperjuang Melayu dan agama Islam.” Perbuatan Kiki, meski pun beliau telah meminta maaf, menjadi fitnah kepada nilai-nilai Melayu-Islam, sehinggakan menjadi jenaka di laman-laman sosial.

Ada yang melihat simpati dan sokongan Perkasa kepada Kiki adalah fitrah semulajadi kumpulan ultra-Melayu itu yang pastinya menyokong sikap si Kiki yang kelihatan jelas tidak senang dengan Uncle Sim kerana ‘Dia Cina’ seperti yang boleh ditonton dalam klip video yang telah tersebar luas.

Sekonyong-konyong itu pula tiba-tiba Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang memberikan pula tawaran balas yang sedikit berbeza berbanding tawaran Perkasa. Kit Siang menawarkan khidmat bantuan guaman kepada Kiki seandainya gadis itu memilih untuk merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.

Nah, di sini kita temukan perbezaan antara pendekatan menyokong seorang pembuli jalanraya oleh sekumpulan pembuli, dengan pendekatan membantu dalam hal prosedur keadilan tanpa mengira sebab dan latar kaum.

Andaikan Kiki bukan-Melayu, adakah Perkasa akan bertungkus-lumus menyediakan tabung untuk membantunya?

DAP menyatakan kesediaan untuk membantu Kiki mendapatkan keadilan. Undang-undang memberi Kiki hak untuk merayu terhadap hukuman, dan DAP menawarkan bantuan guaman untuk memastikan prosedur undang-undang berjalan secara adil terhadapnya. Lagipun Uncle Sim sendiri tidak mahu lagi hal itu dipanjang-panjangkan, dan Kiki pun sudah jenuh memohon maaf atas kesilapannya. Hak merayu yang diperuntukkan undang-undang boleh digunakan, dan DAP sedia membantu dalam hal itu.

Berbeza dengan pendekatan Perkasa yang seolah-olah mengabsahkan tindak-tanduk Kiki dengan menyediakan timbal balik kepada aksi rasis yang berlaku. Seolah-olah berkata ‘tak apa, kami tolong bayarkan denda kesalahan kamu’.

Jadi keputusan kini di tangan Kiki. Sama ada mahu menyambut tangan Perkasa yang menghulurkan bantuan dana, atau merayu diringankan hukuman dengan bantuan guaman daripada DAP. – Roketkini.com