Berita

Tunda kenaikan tol CIQ Johor, runding dahulu dengan rakyat

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengarahkan penangguhan kenaikan tol sebanyak 480 peratus di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru, yang mula berkuatkuasa dua hari lalu.

Ia bagi membolehkan rundingan penuh dengan orang ramai, khususnya rakyat Johor dijalankan berhubung perkara itu, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Proses rundingan awam penuh perlu dibuat (terlebih dahulu), selaras dengan komitmen Najib untuk mendukung prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Beliau sepatutnya sudah menerima maklum balas, bukan sahaja tentang betapa tidak popularnya kenaikan itu, tetapi lebih penting, ketidakadilan yang dirasai penduduk di selatan Johor ekoran kenaikan melampau itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan kenaikan tergesa-gesa kadar ini tanpa memberi peluang kepada orang ramai menyuarakan pandangan.

“Kenaikan diumumkan pada 26 Julai, ia dilaksanakan pada 1 Ogos. Kenapa kenaikan melampau ini dikenakan sebegitu cepat, seolah-olah pihak berkuasa tahu bahawa ia sangat bertentangan dengan kepentingan awam dan ingin melaksanakannya secepat mungkin,” katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mencadangkan rundingan itu agar mengambil kira, antaranya, isu permit masuk kenderaan (Vehicle Entry Permit, VEP) dari Singapura dan rancangan pengangkutan awam menyeluruh di Johor Bahru, serta perancangan kerajaan sebelum ini untuk mengambil alih Eastern Dispersal Link (EDL) daripada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Kementerian Kerja Raya sebelum ini mengumumkan kadar baru tol arah masuk ke Malaysia bagi kenderaan kelas 1 hingga 5 adalah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala kadar tol arah ke Singapura pula pada kadar RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.

Ekoran kenaikan itu, pemandu bas kilang mengadakan ‘mogok’ pada jam lima pagi Jumaat lalu, dengan enggan membayar kadar baru itu, sehingga menyebabkan kesesakan teruk.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, walaupun kenaikan itu kononnya untuk menambah baik kemudahan dan perkhidmatan EDL, majoriti daripada 200,000 pengguna yang masuk ke Singapura melalui CIQ setiap hari tidak menggunakan EDL.

“Kenaikan ini juga sama sahaja seperti mengenakan tol di EDL. Ia bertentangan dengan kenyataan Najib pada 24 September 2012, bahawa EDL akan kekal tanpa tol,” katanya lagi. – Roketkini.com