Berita

Sepatutnya Selangor lebih baik dari Pulau Pinang – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Selangor dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat menjadi model yang jauh lebih baik berbanding Pulau Pinang kerana memiliki ramai bakat-bakat, tapi malangnya hingga kini hanya sekadar berbangga dengan simpanan wang rizab terkumpul.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua  berkata, kecekapan dan ketelusan pengurusan Selangor di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim dipersoalkan kerana gagal menyiapkan pelbagai projek hingga mendatangkan masalah kepada rakyat di negeri itu.

Kata Tony Pua, ia dapat dibuktikan menerusi senarai panjang pengumuman projek di bawah pentadbiran Khalid dengan agenda meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih tidak dilaksana.

“Siapa masih ingat projek pembersihan Sungai Klang bernilai RM10 bilion yang diumumkan 16 Mac 2009? Tidak ada perkembangan sehingga hari ini.

“8 November 2013, beliau kemudiannya menyatakan pula bahawa kerajaan negeri akan memulakan projek pembangunan Sungai Klang pada Mac 2014. Tapi projek tetap tidak berjalan.

“Apa yang berlaku kepada projek RM100 juta ladang penternakan babi yang diumumkan pada 21 Julai 2008?,” kata Pua dalam :Forum Krisis Selangor: Pakatan Rakyat Berpecah? di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), malam tadi.

Selain Tony, turut hadir sebagai panelis ialah Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Ahli Parlimen PAS Sepang Hanifpa Maidin dan pemerhati politik Hishamuddin Rais..

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut menuntut jawapan ke mana perginya peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS).

“Peruntukan MARRIS adalah satu tabung yang disalurkan Kerajaan Persekutuan untuk menyelenggarakan jalan raya di Selangor. Tiap-tiap tahun kita dapat peruntukan ini.

“Khalid memberi jawapan berhubung perkara ini dalam Dewan Undangan Negeri dengan mengatakan Kerajaan Persekutuan menyediakan sebanyak RM464 juta, ini jumlah besar.

“Tapi setakat 31 Mei 2014, hanya RM19 juta disalurkan kepada agensi pelaksana. Ini tidak efisyen,” tegasnya di hadapan lebih 300 hadirin.

Beliau menambah, Khalid juga gagal untuk menubuhkan tiga pusat kebudayaan dan kesenian di Selangor sepertimana dijanjikan.

“Janji beliau untuk mewujudkan pusat kebudayaan untuk masyarakat Melayu, Cina dan India sehingga kini masih belum dilaksana.

“Ya, ini memang penggal terakhir Khalid, tetapi kita tidak mahu ia bertukar menjadi penggal terakhir PR di Selangor. Sebab itu kita tidak boleh menunggu sehingga PRU akan datang,” ujarnya. – Roketkini.com