Berita

Pemuda PR gesa pertemuan ’lapan mata’, selesaikan isu MB Selangor

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) memohon pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti agar mengadakan pertemuan lapan mata supaya kemelut Menteri Besar Selangor dapat segera diselesaikan.

Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dalam kenyataan bersama hari ini menyatakan, pertemuan perlu dilakukan kerana hal tersebut kini telah mencapai tahap membimbangkan dan boleh merosakkan masa depan PR dalam melakukan perubahan.

“Krisis yang sedang melanda ini memberi gambaran kurang baik kepada generasi muda. Anak muda Malaysia mahukan segala masalah yang timbul dalam PR diselesaikan melalui meja rundingan dengan segera.

“Penyelesaian paling munasabah pada tahap ini adalah pertemuan lapan mata antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.

“Berdasarkan pengalaman, ketokohan, dan kebijaksanaan yang mereka miliki, kami penuh yakin pertemuan tersebut mampu merungkai serta menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.

Menurut mereka, pengalaman PAS menghadapi konflik politik Kelantan melibatkan Menteri Besar pada tahun 1977 boleh dijadikan panduan dan pengajaran untuk semua.

“Kami mengharapkan pimpinan tertinggi PR khususnya PAS untuk menjadi pemudahcara pertemuan lapan mata ini.

“Kami juga berharap pertemuan berlaku dalam suasana mahabbah, berlapang dada dan meletakkan kepentingan kolektif demi masa depan generasi akan datang,” ujar mereka.

Pemuda PR turut menggesa semua pihak yang bersimpati seperti NGO, tokoh agama dan masyarakat agar menyokong usaha murni seperti dicadangkan ini. – Roketkini.com