Berita

Jangan tunduk desakan ekstremis sekat pendidikan vernakular

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Jika kerajaan tunduk kepada desakan agar Sekolah Jenis Kebangsaan tidak lagi dibina, maka tiada apa yang dapat menghalang jika ada pihak mahu sistem itu dihapuskan pada masa akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Datuk Razali Ibrahim yang menolak cadangan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Bukit Indah, Johor Bahru.

Mengecam pendirian itu, Guan Eng berkata, hak untuk belajar dalam bahasa ibunda masing-masing wajar dipertahankan, apatah lagi ia termaktub dalam Perlembagaan Negara, di bawah Artikel 152.

“Hak ini juga dilindungi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“DAP tidak memahami cara berfikir kolot (kononnya sekolah vernakular menghalang perpaduan kaum) sebegini. Malah, ada menteri MCA yang dilantik mendapat pendidikan melalui SJKC. Adakah Razali mengatakan mereka ini bersikap memecahbelahkan dan anti-nasional?” katanya dalam satu kenyataan.

4 Ogos lalu, Razali berkata kerajaan tidak perlu meluluskan permohonan SJKC yang baru kerana ia meretakkan hubungan antara kaum.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendesak menteri daripada MCA dan Gerakan memberi ‘kata dua’ kepada kerajaan agar menolak saranan Razali tersebut pada mesyuarat kabinet akan datang.

“Mereka perlu memberi kata dua kepada kerajaan agar meluluskan permohonan pembinaan SJKC di sana sebagai tanda menolak serangan ekstrem dan melawan Perlembagaan oleh Razali, jika tidak ingin mereka meletakkan jawatan.

“Pembinaan SJKC baru juga adalah jawapan yang lebih berkesan, bukan sekadar menunjukkan komitmen kerajaan BN terhadap pendidikan dalam bahasa ibunda, malah sebagai ‘tamparan’ kepada golongan ekstremis seperti Razali,” katanya lagi. – Roketkini.com