Berita

Bersih cadang Pakatan tubuh kaukus, namakan segera MB baru

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih 2.0) mencadangkan Pakatan Rakyat menubuhkan kaukus ADUN Pakatan Rakyat bertujuan menamakan dengan segera Menteri Besar yang baru untuk menamatkan isu politik di Selangor.

Gabungan tersebut berpendirian, dalam sistem berparlimen seperti yang diamalkan di negara ini, sebuah pasukan yang seia sekata perlu berfungsi dan tidak wajar sebuah kerajaan atau badan eksekutif dianggotai oleh ahli yang bercanggah.

“Kami ingin mengingatkan bahawa kemelut yang timbul hasil perdebatan berkaitan dengan kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyebabkan timbulnya krisis perlembagaan di Selangor.

“Pengekalan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar hanya menyebabkan berlaku krisis perlembagaan di samping menafikan hak rakyat Selangor untuk mempunyai sebuah kerajaan yang sah dan berfungsi sepenuhnya.

“Untuk menyelesaikan kemelut dan memecahkan kebuntuan ini, Pakatan Rakyat melalui sidang kaukus ADUN Pakatan Rakyat perlu segera menamakan Menteri Besar yang baru,” kenyataan Bersih dipetik.

Tambah kenyataan tersebut, seorang Menteri Besar perlu ditentukan oleh parti politik atau gabungan yang mendapat majoriti di dalam pilihanraya, bukan sebaliknya.

Bersih menegaskan bahawa Pakatan Rakyat di Selangor yang membentuk majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Selangor bertanggungjawab memanggil sidang kaukus yang perlu dihadiri kesemua 43 orang Ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat.

Ia bertujuan melantik ketua ADUN yang baru untuk seterusnya mengisi jawatan Menteri Besar agar Pakatan Rakyat boleh mengemukakan nama calon Menteri Besar yang baru secara rasmi untuk perkenan Sultan.

“Dengan nama calon yang dikemukakan melalui lantikan kaukus ADUN Pakatan Rakyat, DYMM Sultan boleh menentukan ADUN yang benar-benar secara sah mendapat sokongan majoriti dalam kalangan mereka seterusnya perlu diperkenankan menjadi Menteri Besar,” ujar Bersih yang merujuk Artikel 53(2) Perlembagaan Negeri Selangor.

Bersih turut memohon perkenan kepada DYMM Sultan Selangor untuk memberi ruang kepada proses ini mengambil tempat di Dewan Undangan Negeri.

“Adalah penting bagi DYMM Sultan dari kalangan Raja Berperlembagaan untuk tidak diheret ke dalam pergelutan politik partisan yang hanya akan mencemarkan imej dan nama baik DYMM.

“Setiap pihak dan parti yang terlibat perlu mengambil langkah segera dalam menangani krisis ini secara bijak dan mengikut Perlembagaan.

“Kepentingan rakyat Selangor, kelangsungan Raja-raja Berperlembagaan dan keutuhan kerajaan Negeri perlu diutamakan berbanding mana-mana kepentingan peribadi, mahupun kepentingan parti, atau badan institusi,” tegas Bersih. – Roketkini.com