Berita

MB Selangor: Kit Siang minta Adun Pakatan nyatakan pendirian segera

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Selangor perlu segera menyatakan sama ada mereka menyokong atau tidak kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar di negeri itu, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Dengan pengisytiharan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa 12 ADUN BN menyatakan sokongan kepada Khalid, semua 43 Adun Pakatan – daripada PKR, DAP dan PAS perlu segera menyatakan pendirian jelas mereka,” katanya dalam satu kenyataan ringkas petang tadi.

Katanya lagi, Pakatan tidak boleh dilihat sebagai lambat bertindak ke atas perkembangan politik yang amat penting itu.

“Berikutan perkembangan pantas situasi politik di Selangor dan negara, semua proses membuat keputusan mesti dipercepatkan jika Pakatan tidak ingin dilihat lambat bertindak terhadap perubahan politik,” katanya lagi.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini menyatakan bahawa BN Selangor menyokong Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar tanpa syarat dan secara ikhlas.

Manakala PAS masih belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada Khalid sebagai Menteri Besar kerana Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini.

Terdahulu, dalam kenyataan bersama Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Khalid perlu memanggil sidang Dewan Undangan Negeri untuk membuktikannya masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri. – Roketkini.com