Berita

P Pinang terima RM3.1 bilion pelaburan setakat Mei, mengatasi jumlah di tahun 2013

GEORGE TOWN, 12 OGOS: Untuk tahun ini, Pulau Pinang telah menerima pelaburan berjumlah RM3.1 bilion setakat Mei lalu, meningkat daripada RM3.9 bilion bagi keseluruhan tahun 2013, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau memaklumkan, sektor pengilangan mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM2.34 bilion, jauh lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan RM1.8 bilion pada tahun lalu.

“Namun, jumlah FDI yang dinyatakan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) ini tidak termasuk pelaburan Seagate bernilai RM1.05 bilion yang saya umumkan dua hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, katanya lagi, pelaburan lain yang tidak dinyatakan MIDA termasuk enam projek hotel baru dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM693 juta antara tahun 2014 hingga 2017, yang menghasilkan 5,500 peluang pekerjaan baru dalam bidang penginapan dan perkhidmatan makanan untuk tiga tahun akan datang.

Beliau berkata lagi, Pulau Pinang juga menikmati lonjakan pelaburan Shared Services Outsourcing (SSO), antaranya daripada Wilmar, CitiGroup dan Air Asia.

“(Pelaburan SSO) menawarkan pendapatan tinggi dan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada penduduk tempatan dalam tempoh dua tahun.

“Walaupun pelaburan oleh industri SSO tidak dinyatakan dalam MIDA, ia menyediakan purata gaji bersih RM5,783 sebulan (menurut Perbadanan Pembangunan Multimedia – MDEC, 2014) berbanding purata RM2,786 dalam sektor pembuatan (menurut Jabatan Perangkaan Malaysia – DOS, 2014).

“Sektor ini (SSO) kini menyediakan lebih 7,000 peluang pekerjaan,” kata Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Katanya, perkembangan ini menunjukkan Pulau Pinang sedang mengalami transformasi ekonomi berpendapatan tinggi.

“Fokus kerajaan adalah kemapanan untuk kekal berdaya saing dalam jangka masa panjang. Kami sentiasa menunjukkan minat besar terhadap teknologi tinggi dan pelaburan berasaskan inovasi,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pulau Pinang telah menandatangani perjanjian usahasama bernilai RM11.3 bilion dengan Temasek Group untuk projek Taman Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang di Batu Kawan dan projek Business Process Outsourcing (BPO) di Bayan Baru yang akan mewujudkan 21,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. – Roketkini.com