Berita

‘Larian Impian Kiding’ sempena kejayaan Impian Sarawak bina jalan

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: DAP bakal mengadakan pertandingan ‘Larian Impian Kiding’ sempena Hari Malaysia tahun ini bagi merayakan kejayaan Impian Sarawak menyiapkan jalan sepanjang 3 kilometer di Kampung Kiding, Mambong, Sarawak Julai lalu.

Acara itu dianjurkan secara bersama oleh DAP Mambong dan Pemuda DAP Kebangsaan (Dapsy).

Pada sidang media di ibu pejabat DAP Kebangsaan pagi tadi, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen berharap orang ramai, termasuk di Semenanjung Malaysia dapat menyertai larian itu.

“Pemandangan di jalan terpencil ini sangat menakjubkan dan sudah pun terkenal di kalangan pendaki gunung. Dengan jalan (yang baru disiapkan) dan larian ini, beribu orang lagi dapat menikmati keindahan semula jadi negara kita,” katanya.

Beliau berkata, jalan tersebut bakal memberikan manfaat kepada sejumlah 60 keluarga yang tinggal di Kampung Kiding dan 20 lagi di Kampung Kakas yang bersebelahan.

“Sebelum ini, penduduk kampung mengambil masa lebih sejam untuk berjalan sambil mendaki untuk ke jalan utama. Kebanyakannya murid yang ingin ke sekolah, serta petani yang perlu membawa barang dan peralatan mereka.

“Maka, Impian Sarawak memutuskan untuk menaik taraf jalan denai itu kepada jalan yang boleh dilalui pacuan empat roda dan motosikal. Walaupun tidak bertar, perjalanan kini hanya memakan masa sepuluh minit.

“Ia juga dapat meningkatkan kuasa ekonomi melalui peningkatan perniagaan dan perkhidmatan dan ekopelancongan, serta jika ada kecemasan (untuk ke hospital),” katanya, sambil memaklumkan permohonan mereka agar kerajaan membina jalan di sini selama ini ditolak, dengan alasan memerlukan perbelanjaan besar, iaitu RM10 juta.

Ia adalah projek terbesar setakat ini di bawah Impian Sarawak dan mengambil masa dua bulan (Mei–Julai) untuk disiapkan, serta melibatkan perbelanjaan RM140,000 dan 53 sukarelawan dari seluruh Malaysia.

Bagi acara itu, pendaftaran adalah percuma dan menawarkan habuan wang tunai kepada pemenang, iaitu RM600 bagi tempat pertama, RM400 (kedua) dan RM200 (ketiga) bagi kategori A (Lelaki dan Perempuan), manakala RM1000 (pertama), RM600 (kedua) dan RM300 (ketiga) bagi Kategori B (terbuka).

Lonjakan baru Impian Sarawak

Di samping terus membina prasarana asas kepada rakyat Sarawak, Impian Sarawak bakal mengorak langkah baru dengan projek yang menjurus kepada pembinaan modal insan.

“Kami akan memulakan (langkah baru) ini dengan Kem Pembelajaran Impian Sarawak pada musim cuti sekolah 13 hingga 21 September ini. Kem perintis akan diadakan di Rassau, Sibu, dan Bintangor bagi menjalankan bengkel pendidikan dan motivasi kepada murid sekolah.

“Pencapaian dan maklum-balas rakyat negeri selama setahun ini sangat membanggakan, dan usaha ini akan berterusan tanpa henti,” kata Ahli Parlimen Kuching itu lagi.

Setiap kem berkenaan memerlukan sebanyak 5 hingga 6 orang sukarelawan yang boleh meluangkan masa seminggu untuk mengajar dan memberi khidmat nasihat kepada murid-murid. Sesiapa yang berminat boleh menghantar resume ke [email protected]. – Roketkini.com