Berita

Kes Kugan: ‘PDRM, tolong jangan buat rayuan’

IPOH, 11 OGOS: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kulasegaran menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak memfailkan apa-apa rayuan selepas keputusan Mahkamah Rayuan 8 Ogos lalu berhubung kes kematian A Kugan lima tahun lalu.

“Saya ingin menyeru kepada polis untuk tidak memfailkan rayuan. Keluarga Kugan sudah cukup menderita,” katanya dalam satu kenyataan dua hari lalu.

“Malah, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu memikul tanggungjawab penuh dengan meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi, bahawa Khalid dan pegawainya bertangunggjawab ke atas kematian A Kugan ketika dalam tahanan polis pada lima tahun lalu.

Kugan meninggal dunia ketika ditahan di Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya pada 20 Januari 2009. Ia kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tiga hari kemudian.

Dengan keputusan itu, katanya lagi, tiada alasan lagi bagi pihak kerajaan untuk terus berdolak-dalih dalam menubuhkan badan khas memantau polis, Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

“Sebelum ini saya sudah bangkitkan, berapa lagi kes kematian dalam tahanan perlu berlaku sebelum kerajaan persekutuan menubuhkan IPCMC?

“(Badan sedia ada) Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak memberikan keyakinan kepada awam, dan ia telah dibuktikan gagal.
“Tiada sebab kerajaan atau polis perlu takut untuk menubuhkan IPCMC, seperti United Kingdom dan Australia yang memiliki badan siasatan luar (yang bebas),” katanya lagi.
Menurut rekod NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram), sejumlah 218 kes kematian dalam tahanan berlaku antara tahun 2000 hingga Mei 2013. – Roketkini.com