Berita

SKMM boleh ambil maklumat peribadi, pintas telefon pengguna?

TELUK INTAN, 15 OGOS: Arahan dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) April tahun lalu disyaki membolehkan kerajaan menjalankan pengawasan secara meluas ke atas pengguna telefon.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar Terence Naidu dan Dyana Sofya Mohd Daud yang membangkitkan isu tersebut menyatakan, maklumat peribadi seseorang yang dibuka kepada umum mendedahkan kepada risiko penipuan kewangan dan pemerasan.

Mereka merujuk Perenggan 24 Arahan 2013 yang dikeluarkan SKMM yang menyatakan, ‘maklumat pengguna yang disimpan dalam MCEIR (Malaysian Central Equipment Identity Register) boleh digunakan untuk perkhidmatan PCBS (Public Cellular Blocking Service) dan tujuan lain di bawah undang-undang.’

IMG-20140814-WA0007
“Jika dilihat secara lebih mendalam, arahan menggunakan alasan untuk menyekat perkhidmatan dalam kes kehilangan telefon memiliki agenda tersembunyi yang amat mencurigakan.

“Adakah Perenggan 24 dan 23 Arahan No. 1 2013 bertujuan untuk menghalalkan MCMC menjalankan pengawasan secara meluas ke atas pengguna telefon? Ini persoalannya,” kata mereka.

Manakala Perenggan 34 pula menyatakan “Arahan itu juga boleh diguna-pakai untuk tujuan pintasan seperti yang dinyatakan di bawa Akta dan/atau mana-mana undang-undang bertulis di Malaysia.”

Ia membolehkan SKMM mendapatkan maklumat peribadi pengguna seperti penukaran alamat, lokasi semasa, alamat IP (internet protocol) dan emel, selain memintas kandungan sms, panggilan dan data oleh setiap pengguna, kata mereka.

IMG-20140814-WA0017

Kedua, arahan itu bertentangan dengan konsep ‘tidak bersalah sebelum dibuktikan sebaliknya’, kerana membolehkan pengawasan dibuat tanpa prosedur dan kewujudan unsur jenayah.

“Kita sudah ada undang-undang yang membenarkan pintasan dan pengawasan jika membabitkan keselamatan awam, seperti dalam Seksyen 27 A, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 43, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Sebelum ini, maklumat-maklumat ini hanya boleh diambil oleh badan penguatkuasa berpandukan undang-undang sedia ada…namun kini tidak lagi.

“Kuasa seluas ini membuka ruang untuk penyalahgunaan. Apabila anda merampas privasi individu, anda turut merampas maruah mereka,” tegasnya..

Pembabitan syarikat swasta

Dalam pada itu pembabitan syarikat swasta Neumera Malaysia dilantik untuk membina dan menguruskan perkhidmatan sekatan PCBS turut dipersoalkan.

“Perenggan 28 menyatakan pembekal perkhidmatan perlu membayar RM1.50 setahun bagi setiap pengguna kepada SKMM bagi perkhidmatan PCBS. Kenapa mereka perlu membayar kepada SKMM?

“Siapakah (pemilik) Neumera dan mengapa mereka dipilih? SKMM perlu menjelaskannya.

“Kami akan mendedahkan lebih banyak maklumat tentang Neumera, bergantung kepada maklumbalas daripada SKMM nanti,” ujarnya. – Roketkini.com