Berita

Peralihan kuasa perlu segera, penuh tertib – Teng Chang Khim

SUBANG JAYA, 15 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim menyeru agar peralihan kuasa di Selangor diadakan dengan segera, penuh tenang dan tertib.

Ia berikutan 30 Adun Pakatan Rakyat yang menyatakan sokongan mereka kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah sebagai menteri besar yang baru dalam satu sidang media semalam.

Perkembangan itu menjadikan Wan Azizah mendapat sokongan lebih empat Adun berbanding Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan jumlah tersebut tidak termasuk Adun PAS yang masih belum menyatakan pendirian mereka.

“Bagi pihak DAP, kesemua 15 Adun kami memberi sokongan penuh kepada Wan Azizah untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar.

“Dengan sokongan majoriti ini, saya menyeru agar peralihan kuasa dapat dibuat dengan kadar yang segera, dan dengan penuh tenang dan tertib,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau yang juga bekas Exco kanan kerajaan negeri itu juga meminta agar rakyat Selangor terus bersabar dengan kemelut yang berlaku, dan menjamin ia akan selesai tidak lama lagi.

“Kita akan pastikan ia (peralihan kuasa) dibuat dengan tertib, dan pembangunan negeri akan dapat diteruskan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, demi memastikan amanah rakyat dan pengundi Selangor, Teng turut memulangkan kenderaan rasmi dan mengosongkan pejabatnya.

Menurut laporan Malaysiakini, kereta itu dipulangkan Teng melalui pemandunya kira-kira jam 9.30 pagi semalam, walaupun belum ada sebarang arahan dikeluarkan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan berhubung perkara tersebut. – Roketkini.com