Berita

Pulau Pinang komited pulihara bangunan warisan bersejarah

GEORGE TOWN, 24 OGOS: Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT) memohon pertimbangan Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya melindungi rumah agam yang memiliki nilai sejarah tinggi iaitu Soonstead Mansion dari dirobohkan.

PHT berkata, Soonstead perlu dikekalkan sebagai sebahagian daripada warisan untuk generasi akan datang.

“Soonstead Mansion kini terancam oleh cadangan blok menara 13 tingkat yang akan mengakibatkan perobohan ruang makan dan ruang tambahan pada rumah agam itu.

“Dengan pembangunan menara 13 tingkat yang dicadangkan, merangkumi 11 tingkat hotel dan 2 tingkat tempat letak kereta, Soonstead akan mengecil dan ruang tamannya juga akan habis.

“Ini merupakan satu penghinaan terhadap status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Soonstead Mansion yang asalnya dikenali sebagai Northam Lodge telah dibina oleh arkitek terkemuka James Stark pada tahun 1911.

Pada tahun 1989, MPPP telah menyusun senarai 20 bangunan warisan di Jalan Sultan Ahmad Shah dan Soonstead dikenal pasti sebagai salah satu warisan yang perlu dipulihara.

Terdahulu, pada 19 Ogos 2014, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam memelihara dan mengekalkan ciri-ciri warisan bangunan-bangunan bersejarah.

Beliau berkata, ini dibuktikan dengan inisiatif terbaru kerajaan negeri bersama PHT, Hong Kong Bank (HSBC) dan penyumbang lain untuk memulihkan rumah agam Suffolk House di Jalan Ayer Hitam.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang telah menganugerahkan projek pemulihan tersebut melalui tender terbuka kepada Baba Success Sdn Bhd.

“Kerajaan Negeri menerima Baba Success kerana pengalaman mereka lebih daripada 20 tahun mengurus dan mengendalikan 13 restoran di Pulau Pinang.

“Baba Success perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya sebanyak RM300,000 setahun untuk pembaikan serta penyelenggaraan rumah dan mengekalkan tiga bilik sebagai ruang tafsiran warisan,” ujarnya.

Suffolk House telah dibina oleh Francis Light pada tahun 1786.

Akibat peredaran masa dan moderniti, bangunannya mengalami kerosakan dan berjaya dipulihkan sebelum diberi Anugerah Warisan Unesco Asia Pasifik pada tahun 2008.

Dengan penganugerahan kontrak baru, rumah tersebut akan menjalani kerja-kerja pengubahsuaian, namun seni bina dan bentuk asalnya tetap dikekalkan. -Roketkini.com