Berita

Malaysia perlu lebih NGO pelbagai bangsa, perjuang isu hak asasi dan keamanan

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Malaysia memerlukan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu hak asasi dan demokrasi yang terdiri dari aktivis pelbagai bangsa dan agama, kata Naib Presiden DAP Teresa Kok.

Dengan kewujudan NGO sedemikan ia berperanan memecahkan tembok prasangka dan kemudiannya berjuang atas isu bersama tanpa mengira warna kulit.

“Kita memerlukan lebih banyak NGO atau gabungan NGO seperti Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang memperjuangkan integrasi antara kaum, hak asasi manusia dan keamanan,” kata Teresa.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis minum petang bagi kutipan dana (GBM) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) di sini semalam.

Hadir sama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Jihad untuk Keadilan, Datuk Thasleem Ibrahim.

Dalam majlis minum petang dengan tema ‘Keharmonian Menyuburkan Keamanan’ itu, Datuk A Samad Said turut melelong dua lukisannya dengan harga RM5,000 dan RM10,000 dan hasil jualannya disumbangkan kepada GBM. – Roketkini.com