Berita

Pulau Pinang sumbang RM1,000 pada 134 pelajar diploma dan sarjana muda

GEORGE TOWN, 24 OGOS: Dibawah program Agenda Ekonomi Saksama (AES), kerajaan Pulau Pinang menyampaikan Cek Bantuan Pendaftaran kepada 134 pelajar d negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Cek bantuan sebanyak RM1,000 kepada pelajar dan wakil itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam majlis penyampaian cek bantuan di Dewan Terbuka, Tapak Pesta Sungai Nibong, semalam.

Berucap pada majlis tersebut, Guan Eng berkata, pemberian ini perlu dilakukan untuk membantu mengurangkan beban ibu bapa untuk menghantar anak ke universiti.

“Sumbangan yang disampaikan ini adalah atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Guan Eng menyatakan, bagi sesi pertama tahun ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan 549 orang pelajar dengan peruntukan sebanyak RM549,000 untuk program Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar.

“Untuk daerah Daerah Timur Laut (DTL), Kerajaan Negeri telah meluluskan 52 permohonan manakala 82 permohonan telah diluluskan untuk Daerah Barat Daya (DBD).

“Bagi tahun 2014, kita telah membuka permohonan i-BiTA kepada pelajar peringkat Diploma Sesi Kemasukan Pertama 2014/2015 serta Diploma Sesi Kemasukan Kedua 2013/2014 dan Ijazah Sarjana Muda untuk kemasukan kedua pada 2 Jun sehingga 30 Jun 2014.

“Manakala, bagi pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda sesi kemasukan pertama, permohonan i-BiTA akan dibuka bermula 1 September sehingga 30 September 2014,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri telah membuka peluang bagi pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dari tiga Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) iaitu di Wawasan Open University (WOU), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan AIMST Universiti untuk memohon i-BiTA.

Selain memberikan kepada pelajar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun in telah melaksanakan pelbagai program bersifat kemasyarakat untuk memastikan rakyat menikmati hidup lebih selesa.

Antara program-program yang diperkenalkan adalah seperti Program Bantuan Ibu Tunggal, Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), Program Anak Emas dan Skim Pelajar Emas. -Roketkini.com