Berita

Pejabat MP Klang dipecah masuk kali kedua, nasihat orang ramai waspada

KLANG, 25 OGOS: Pejabat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago di Batu Unjur, Klang, Selangor dipecah masuk dan hanya disedari pembantunya yang tiba di pusat khidmat untuk memulakan tugas kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Charles menyatakan wang tunai berjumlah RM100 telah dicuri, namun masih belum dapat mengesahkan jika ada kehilangan sebarang dokumen di pejabatnya.

Polis dari ibu pejabat kontinjen (IPK) Selangor telah merekod kenyataannya berhubung kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan termasuk pemeriksaan cap jari di lokasi kejadian.

“Rakaman CCTV tidak boleh ditonton kerana alat perakam turut dicuri. Secara keseluruhannya, jumlah kerosakan pejabat kami adalah jauh lebih besar daripada barangan yang dicuri,” kata Charles.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dan menolak pandangan bahawa kejadian tersebut bersifat politik.

Menurut Charles, penjenayah dipercayai memecah masuk ke pejabatnya dengan memotong kunci di tingkat bawah dan kemudiannya memotong bekalan elektrik pejabat bagi mematikan kamera litar tertutup (CCTV).

Tambahnya, penjenayah turut menggeledah pejabat, termasuk memecahkan dinding untuk membuka pintu yang berkunci dan masuk ke pejabatnya.

“Saya menasihatkan semua untuk sentiasa berwaspada, di tempat kerja serta rumah anda dan menjaga keselamatan keluarga anda,” kata Charles dalam satu kenyataan.

Menurut Charles kejadian ini merupakan kali kedua pejabatnya dipecah masuk. Dalam kejadian pada Mac 2009, beliau kehilangan dua unit komputer dan kerugian dianggarkan sekitar RM15,000 selain kerosakan pada sistem pintu eletronik. – Roketkini.com