Berita

Universiti di Malaysia gagal penuhkan kuota 1,550 pelajar perubatan

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mempersoalkan kegagalan kerajaan memenuhkan kuota 1,550 tempat bagi pelajar jurusan perubatan di 11 buah universiti penyelidikan dan bukan-penyelidikan di negara ini.

“Menurut statistik yang didedahkan Majlis Perubatan Malaysia, universiti-universiti awam memperuntukkan kuota sebanyak 1550 tempat. Apa alasan universiti tidak mengisi kuota ketika ramai pelajar terbaik gagal mendapat kemasukan ke program-program perubatan?

“Mengapa Kabinet tidak memutuskan untuk meminta 11 universiti awam untuk mengisi 1,550 kuota yang diluluskan?” soal Teresa dalan satu kenyataan hari ini.

Menurut Teresa, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan pada 18 Ogos berkata seramai 1,163 pelajar dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 telah memohon untuk program perubatan untuk tahun ini.

Dari jumlah itu hanya 418 pelajar ditawar kemasukan ke program perubatan berbanding 669 pelajar tahun lalu.

Namun, Menteri Kesihatan Datuk Subramaniam kemudiannya menjelaskan angka disebut Kamalanathan tidak termasuk mereka yang ditawar universiti penyelidikan yang membuat pengambilan sendiri dengan jumlah keseluruhan seramai 919 pelajar.

Percanggahan maklumat antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan menimbulkan kekeliruan terutamanya di kalangan keluarga dan pelajar yang memohon kemasukan bagi jurusan perubatan di universiti awam tempatan.

Sebelum ini Kamalanathan berkata jumlah tawaran pelajar ke jurusan perubatan dikurangkan tahun ini kerana doktor pelatih sedia ada di hospital terlalu ramai sehingga ada yang ‘tidak diberikan apa-apa tugasan’.

Sedangkan, statistik ‘World Development Indicators: Health Systems’ oleh Bank Dunia menunjukkan julat purata doktor per 1,000 orang bagi Malaysia hanyalah 1.2, berbanding 1.5 di seluruh dunia dan 1.8 bagi negara pendapatan sederhana.

Dalam masa sama terdapat kes pelajar lepasan STPM yang cemerlang namun gagal memohon biasiswa Program Ijazah Luar Negara (PILN) untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan.

“Kerajaan perlu mengamalkan ketelusan, akauntabiliti dan mendedahkan sama ada terdapat pengurangan secara keseluruhan pengambilan tahun ini bagi jurusan perubatan, dan jika demikian, mengapa?”

“Apa alasan universiti memilih untuk tidak mengisi kuota apabila ramai pelajar terbaik gagal mendapat kemasukan ke program-program perubatan?

“Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin juga perlu menjelaskan mengapa universiti awam tidak diarahkan untuk mengisi jumlah kuota yang diluluskan untuk menyelesaikan masalah pelajar terbaik yang gagal ditempatkan dalam program perubatan,” tegasnya. – Roketkini.com