Berita

MP Tanjong dibebas selepas disiasat tujuh jam bawah Akta Pertubuhan

GEORGE TOWN, 4 OGOS: Polis membebaskan Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik selepas disoalsiasat hampir tujuh jam berhubung pembabitannya dalam Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang diisytihar haram oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ng ditahan kira-kira jam 1 tengahari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani, berikutan pembabitannya dalam Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang diisytiharkan haram oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ng merupakan Timbalan Komander PPS dan juga ketua Pemuda DAPSY Pulau Pinang dibebaskan kira-kira jam 7.00 malam tadi selepas disiasat dibawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Dalam kenyataan ringkas seperti yang disiarkan di laman facebooknya, Ng berkata beliau dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan adalah berhubung penglibatannya dalam PPS.

“Kami tetap bersemangat. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan,” kata Ng.

Ng adalah pimpinan DAP kedua yang ditahan selepas Pengerusi PPS yang juga Exco negeri Phee Boon Poh bersama 156 anggota PPS sejurus tamat penyertaan pertubuhan sukarela itu dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan di George Town pada 31 Ogos.

Dalam perkembangan sama wartawan Malaysiakini, Susan Loone turut disiasat di bawah Seksyen 41C, Akta Hasutan 1948 untuk disoal siasat berhubung temubualnya dengan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Telefon Loone turut dirampas dan portal berita itu kini disiasat kerana menyiarkan temubualnya dengan Phee, yang dianggap menghasut ketika Phee dalam tahanan polis awal Isnin lalu berkaitan peranannya dalam Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Siasatan tersebut ekoran 10 laporan polis dibuat Selasa llau oleh Perkasa dan 13 NGO lain di Pulau Pinang terhadap laporan temubual tersebut

Kumpulan itu yang diketuai oleh Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang, Mohd Rizuad Azudin menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Susan Loone dan Malaysiakini kerana didakwa memfitnah polis dalam artikel bertajuk ‘Disoal siasat selama 4 jam, dakwa dilayan seperti ‘penjenayah’,” yang diterbitkan pada hari Isnin.

Artikel itu adalah terjemahan Bahasa Malaysia artikel Susan Loone dalam bahasa Inggeris, yang bertajuk “Exco man grilled for four hours, treated like ‘criminal’,” yang juga telah diterbitkan pada hari yang sama. – Roketkini.com