Berita

Najib guna Akta Hasutan untuk selamatkan kedudukannya dalam Umno

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Siri penahanan di bawah Akta Hasutan 1948 dibuat semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden Umno yang merosot teruk ekoran kritikan hebat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, serangan Mahathir menjejaskan Najib, terutama di mata akar umbi Umno menjelang Mesyuarat Agung Umno Bahagian dan seterusnya Perhimpunan Agung Umno pada 25 hingga 29 November akan datang.

“Sejak Tun Mahathir menarik balik sokongan dan menyifatkan Najib lebih teruk daripada Tun Abdullah Badawi, Najib berada di bawah tekanan hebat dan cabaran daripada pihak pelampau (dalam Umno),” katanya dalam rencana bertajuk ‘Dancing to the tunes of Mahathir and Umno hawks’.

Kata Chin Tong, Najib bersama-sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan akta tersebut untuk menunjukkan kuasa, seterusnya membungkam sebarang penentangan dalam parti itu.

Beliau mengungkap kembali ‘Operasi Lalang’ pada 1987 yang melibatkan penahanan 106 ahli politik dan aktivis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dijalankan beberapa bulan selepas Pemilihan Agung Umno paling sengit dalam sejarah, yang menyaksikan Tun Mahathir kekal sebagai Presiden dengan majoriti hanya 43 undi menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Najib dan Zahid menari mengikut rentak Mahathir dan pemimpin Umno.”

“Zahid kini sedang memulakan langkah untuk serangan seperti Operasi Lalang terhadap pembangkang, untuk mengalihkan perhatian terhadap pergolakan dalaman Umno.

“Ketakutan yang timbul daripada ISA (dahulu) atau Akta Hasutan bertujuan menutup sebarang tentangan di luar dan juga di dalam Umno sendiri,” katanya lagi.

Bukan soal Melayu lawan bukan-Melayu

Kerajaan Umno BN kini juga dilihat sedang menggunakan formula tradisi mereka untuk mengekalkan kuasa, iaitu kaum, agama dan raja (race, religion, royalty – 3R) bagi menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu dan meneruskan pemerintahan secara kuku besi.

Ini dapat dilihat dengan cubaan berterusan sepanjang tahun ini demi menimbulkan kebencian kaum. Terbaru, Zahid mendakwa orang bukan-Melayu semakin angkuh dan sering menghina orang Melayu.

Justeru itu, kata Chin Tong, semua pihak perlu jelas dengan keadaan sebenar politik negara agar tidak termakan jerat Umno itu.

“Politik negara bukan pertentangan Melayu dengan bukan-Melayu, tetapi antara politik ketakutan lama dengan politik baru. Ada bukan-Melayu yang terlibat rasuah, seperti juga ramai orang Melayu yang menyokong politik baru.

“Masa depan Malaysia bergantung kepada sama ada majoriti rakyat dapat melihat melangkau perbezaan kaum dan melihat nasib yang dikongsi bersama terutama dari segi kemakmuran ekonomi,” ujar Chin Tong. – Roketkini.com