Berita

300 ahli akademik dan profesional turunkan tandatangan tuntut Azmi Sharom dibebaskan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Sejumlah 300 ahli akademik dan profesional menurunkan tandatangan bagi menuntut pembebasan pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Azmi Sharom yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyifatkan undang-undang yang lapuk itu tidak sepatutnya digunakan ke atas Azmi yang hanya berkongsi pandangan dengan masyarakat mengenai isu yang berkaitan dengan bidangnya.

“Beliau didakwa melakukan ‘jenayah’ semata-mata kerana berkongsi pendapat. Ia jelas tidak menghormati prinsip sejagat kebebasan pendidikan dan bersuara.

“Tuduhan menghasut itu hanya menunjukkan hipokrasi kerajaan. Bukankah kerajaan sendiri yang melantik beliau untuk menyelidik dan mendidik mahasiswa mengenai sistem perundangan negara?” tegas kenyataan itu.

Pada 2 September lalu, Azmi didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan itu, dengan pendakwaan pilihan di bawah Seksyen 4(1)(c) akta yang sama ekoran artikel bertajuk ‘‘Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told’ yang disiarkan laman The Malay Mail Online, 14 Ogos lalu.

Sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kenyataan itu turut menyifatkan Akta Hasutan sebagai undang-undang hina warisan penjajah British dan harus dimansuhkan.

“Ia adalah satu ironi, bahawa kita masih ditindas oleh kerajaan yang kononnya telah memerdekakan Malaysia daripada penjajah.

“Azam Perdana Menteri Najib Razak yang kononnya bertekad atas nama kecemerlangan akademik, demokrasi, serta transformasi kerajaan dan ekonomi kelihatan lemah lagi kosong,” kata kenyataan itu lagi.

Antara ahli akademik dan profesional yang menurunkan tandatangan ialah Amanda Whiting (Melbourne), Datuk Dr Toh Kin Woon (Pulau Pinang), Dr Mohd Faizal Musa (Bangi), Dr Wong Chin Huat (Pulau Pinang), Dr Rusaslina Idrus (Kuala Lumpur), K Thiruchelvam (Petaling Jaya), Helen Ting (Kajang) dan lain-lain. – Roketkini.com