Berita

KPN mesti minta maaf, buka semula kertas siasatan kematian Beng Hock

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini jelas menunjukkan bahawa ada pihak yang bertanggungjawab atas kematian Teoh Beng Hock di bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor lima tahun lalu.

“Terdapat kegagalan keadilan dalam pengendalian kes Teoh Beng Hock,” ujar Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, memetik penghakiman Mahkamah Rayuan hari ini yang sebulat suara memutuskan mahkamah koroner dan Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam memutuskan kes Beng Hock.

“Oleh itu saya mahu Ketua Polis Negara (KPN) untuk meminta maaf, kerana beliaulah yang mengetuai siasatan, dan sehingga hari ini tiada yang dipertanggungjawabkan,” gesa Nie Ching dalam sidang media di luar kamar mahkamah di Istana Kehakiman.

Tan Sri Musa Hassan adalah Ketua Polis Negara, manakala Datuk Khalid Abu Bakar merupakan Ketua Polis Selangor ketika siasatan kematian Beng Hock dimulakan pada 2009.

Menurut beliau lagi, KPN bukan sahaja perlu meminta maaf kepada keluarga mendiang Beng Hock, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran ada usaha untuk menutup kebenaran.

Lebih merunsingkan lagi katanya, siasatan dalaman SPRM sendiri melepaskan semua pegawainya yang terlibat dalam soal siasat Beng Hock daripada sebarang tanggungjawab.

“Saya rasa itu langsung tidak boleh diterima setelah kita melihat keputusan mahkamah hari ini,” ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP.

Nie Ching berkata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pula kini disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran tulisannya mengenai kematian Beng Hock, yang pada pandangannya telah dibunuh.

“Beliau terbukti benar dalam tulisannya itu,” kata Nie Ching merujuk penghakiman panel tiga hakim yang memutuskan kematian Beng Heck bukan kes bunuh diri atau kemalangan, sebaliknya disebabkan perbuatan salah orang tidak bernama, termasuk pegawai SPRM yang terlibat dalam soal siasat Beng Hock.

“Siasatan polis terhadap Kit Siang mesti ditarik balik dengan segera,” tegas beliau.

Sementara itu biro undang-undang DAP akan mengatur laporan polis di seluruh negara berikutan penghakiman yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang juga anggota biro tersebut dalam kenyataannya berkata, anggota DAP seluruh negara akan membuat laporan bagi menggesa kertas siasatan dibuka semula dan mereka yang benar-benar bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. – Roketkini.com