Berita

Projek paip air graviti Impian Sarawak, sukarelawan diperlukan

KUCHING, 5 SEPTEMBER: Meskipun sudah lebih 51 tahun merdeka, namun 41 peratus kawasan pedalaman Sarawak masih tidak mempunyai bekalan air yang sempurna.

Penduduk kampung terpaksa mendapatkan bekalan air mereka dari sungai berdekatan, untuk kegunaan harian, membersihkan diri dan membasuh pakaian.

Melalui projek Impian Sarawak yang dilancarkan pada Oktober 2013, DAP berjaya melaksanakan 19 projek yang berasaskan perkhidmatan prasarana asas termasuk bekalan air kepada penduduk pedalaman.

Daripada 19 projek itu hampir 500 keluarga di perkampungan mendapat manfaat dengan membabitkan kos sebanyak RM357,000.

Antara kejayaan terbesar program itu ialah pembinaan jalan di Kampung Kiding, Kuching Sarawak.

Kini, atas inisiatif untuk mengorak langkah lebih ke depan dan rasa tanggungjawab membantu penduduk yang hidup serba kepayahan, projek Impian Sarawak akan melaksanakan projek paip air graviti di dua kawasan pedalaman di Lawas dan Limbang.

Justeru itu, DAP mengalu-alukan orang ramai untuk bersama membantu dan menjadi sukarelawan dalam projek ini yang akan diadakan dari 20 September hingga 29 September 2014 di Lawas, dan 27 September hingga 5 Oktober di Limbang.

“Kampung Beriwan Kito dan Kampung Tunas Baru akan menjadi kampung pertama di Lawas untuk menerima projek paip air graviti Impian Sarawak. Seramai 200 penduduk di kedua-dua kampung ini terpaksa bergantung kepada air hujan yang tidak menentu sebagai sumber air mereka.

“Kampung Merutop pula akan menjadi projek paip graviti kedua di Limbang. Jadi, kami memerlukan tenaga sukarelawan untuk melaksanakan projek,” kenyataan Impian Sarawak dipetik.

Sukarelawan perlu menanggung sendiri biaya tiket kapal terbang (bagi sukarelawan dari luar Sarawak), selain memberi sumbangan sebanyak RM250 (Lawas) dan RM300 (Limbang) untuk menanggung kos perjalanan darat dari lapangan terbang ke kampung, makanan dan tempat tinggal serta insuran.

Pihak yang berminat untuk menyertai boleh mengisi borang penyertaan di sini: http://bit.ly/14sP4Ax

Jika ada sebarang pertanyaan, hantarkan soalan anda ke emel [email protected]. – Roketkini.com