KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Akta Hasutan 1948, undang-undang peninggalan penjajah British kini menjadi ‘ISA baru’ pentadbiran Najib untuk menindas pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis masyarakat.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen berkata, akta itu kini digunakan sewenang-wenangnya ‘dalam satu arus penindasan politik baru’ secara dahsyat dan rakus.
“Sudah dua kali Perdana Menteri berjanji untuk memansuhkannya, iaitu pada 11 Julai 2012 dan 3 Julai 2013.
“Maka adalah amat memeranjatkan apabila ia kini digunakan secara berleluasa sebagai ISA baru untuk menyekat dan menindas suara yang membantah.
“Ini jelas untuk menimbulkan rasa takut, seperti mana semasa pemerintahan kuku besi rejim Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pagi tadi.
Sidang media itu bagi mengumumkan penubuhan Gabungan Hapus Akta Hasutan (GHAH).
Gabungan disertai 112 NGO itu bertujuan mengadakan kempen ke seluruh negara untuk menghentikan ancaman akta yang mencengkam masyarakat daripada bebas bersuara.
GHAH akan dilancarkan secara rasmi pada 15 September ini di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor dan menggariskan empat tuntutan;
– Mansuhkan Akta Hasutan
– Tidak menggantikannya dengan undang-undang yang zalim sepertinya
– Menggugurkan semua dakwaan yang sedang berjalan
– Membebaskan semua yang telah dipenjara di bawah akta itu
Beliau berkata, bukti terbaru salahguna akta itu adalah hukuman penjara 11 bulan yang dijatuhkan kepada aktivis mahasiswa Safwan Anang pagi tadi.
Safwan didakwa kononnya mengeluarkan kenyataan menghasut untuk menumbangkan kerajaan secara tidak sah dalam satu forum pada 13 Mei 2013.
“Jelas sekali hukuman itu amat berat. Pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara yang jelas menyasarkan kepada mereka yang kritikal terhadap kerajaan ternyata amat membimbangkan,” katanya lagi. – Roketkini.com