Berita

Bongkar semula punca kematian Teoh Beng Hock – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 5 SEPT: Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak polis agar membongkar kembali punca kematian Teoh Beng Hock lima tahun lalu.

“Faktor kematian beliau perlu dibongkarkan kerana mahkamah hari ini tidak bersetuju bahawa kematian beliau tidak dapat dicari sebabnya.

“Dan kita berharap agar punca kematiannya dapat diketahui, bagi memberikan keadilan bukan sahaja kepada mendiang, tetapi ahli keluarganya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini sebulat suara menolak keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner dan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.

Dalam penghakimannya, salah seorang hakim Datuk Mohamad Ariff menyebut kecederaan mendiang sebelum jatuh membuktikan ada unsur jenayah.

Mahkamah juga menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab menjamin keselamatan mendiang sepanjang siasatan berjalan.

Kata Guan Eng lagi, polis perlu memastikan pihak yang bertanggungjawab ke atas kematian Beng Hock dihukum.

“Jika mereka tidak ingin beritahu apa sebenarnya punca kematian, dan memastikan mereka yang terlibat dihukum, sukar untuk mengembalikan keyakinan kepada SPRM dan kerajaan.”

Sambil merakamkan tahniah kepada keluarga mendiang, Guan Eng turut menyatakan komitmen meneruskan perjuangan menuntut keadilan.

“Saya tahu jalan masih panjang. Namun sekurangnya, keputusan ini adalah cahaya dalam kegelapan yang kini menyelubungi negara,” katanya lagi.

Biro undang-undang DAP seluruh negara akan membuat laporan polis bagi menggesa kertas siasatan kes ini dibuka semula. – Roketkini.com