Berita

Safwan dan anak muda marah kerana kerajaan ‘pekak’ – Steven Sim

KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER: Kerajaan yang ‘pekak’ dan tidak mengendahkan suara rakyat punca kemarahan ramai anak-anak seperti Safwan Anang kata Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Mengulas keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap aktivis pelajar itu, Steven menegaskan kerajaan sepatutnya mendengar dan menerima pandangan yang diutarakan serta mengambil jalan membetulkannya.

“Bagaimana pula dengan janji-janji sebelum pilihanraya? Semua tidak ditepati, macam mana orang tak marah? Rakyat marah kerana kerajaan ‘pekak’, tak tunai janji,” kata Steven kepada Roketkini.

Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu bersalah atas tuduhan menghasut dalam satu ucapan pada 13 Mei tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang turut menaikkan wang jaminan dari RM5,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.

Safwan didakwa dituduh kononnya membuat ucapan berbaur hasutan dalam sebuah program ceramah di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor pada 13 Mei 2013.

Difahamkan antara kandungan ucapannya berhubung penipuan dan salah laku dalam pilihanraya umum ke-13 selain mendesak peletakan jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kerajaan kata perlu ikut saluran yang betul. Tapi di manakah salurannya? Mereka langsung tidak diberi peluang,” tegas Steven.

“Selagi ketidakadilan dan kezaliman wujud , rakyat akan terus mengkritik, menyatakan aspirasi dan meluahkan pandangan mereka,” ujarnya.

Selain Safwan, antara yang didakwa di bawah Akta Hasutan atas ucapan dalam program yang sama adalah Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Datuk Tamrin Ghafar bersama Haris Ibrahim, Hishamuddin Rais dan Adam Adli.

Kerajaan tak hormat perbezaan pandangan

Sementara itu Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong turut menyelar tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut yang jelas melanggar hak kebebasan bersuara dalam sesebuah negara demokrasi.

“Segala keputusan yang dibuat, pada saya, haruslah menghormati kebebasan bersuara.

“Malangnya, di negara kita ia langsung tidak dihormati, malah menggunakan pula Akta Hasutan untuk menghukum aktivis dan pimpinan pembangkang yang berbeza pandangan, pendapat atau memberikan kritikan.

“Tindakan ke atas Safwan memang tidak patut sama sekali kerana ia terbukti dengan bertentangan prinsip sebuah negara demokrasi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah turut menyokong penuh usaha beberapa pihak untuk memansuhkan akta zalim itu.

“Kami, bagi pihak DAPSY memang menyokong penuh segala usaha ke arah pemansuhan Akta Hasutan dan menggesa kerajaan agar segera melaksanakannya,” tegas beliau.

Peguam Safwan, Ariff Azami, telah memohon supaya anak guamnya hanya dikenakan denda minimum RM5,000 memandangkan beliau hanya bekerja sebagai guru mengajar Al-Quran selepas menamatkan pengajiannya dalam jurusan pengajian Islam di Universiti Malaya (UM). Namun, permohonan itu ditolak. – Roketkini.com