Berita

Sempena Hari Malaysia, Negara-ku anjur ‘Perkelahan Rakyat’

KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER: Sempena sambutan ulangtahun ke-51 penubuhan Malaysia, gerakan masyarakat sivil Negara-ku akan memulakan kempen menuntut kembali negara dari ancaman bahaya segelintir pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-ku Zaid Kamaruddin berkata, untuk melancarkan usaha itu pihaknya akan menganjurkan ‘perkelahan rakyat’ pada 16 September ini.

“Usaha yang bertemakan ‘kembalikan negara ku’ ini akan diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya bermula jam 8.30 hingga 10 pagi.

“Kami berharap anda semua akan bersama kami.

“Jadikan tindakan bersama kita ini sebagai pengisytiharan bahawa segala usaha menakut-nakutkan dengan tuduhan menghasut dan tindakan keras tidak akan menghalang rakyat menebus kembali negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menegaskan, antara tujuan utama lain inisiatif itu digerakkan adalah untuk menyelamatkan negara daripada anasir pecah belah.

“Hari ini, anasir pecah belah di antara kita bertindak sesuka hati serta bebas daripada sebarang hukuman, dan undang-undang kuno terus digunakan untuk mengekang suara rakyat.

“Seperti dinyatakan pelbagai pihak dalam beberapa hari ini, kita menghadapi bahaya menjadi negara gagal, hanya rakyat yang boleh menyelamatkan Malaysia,” ujarnya.

Negara-ku juga turut memaklumkan untuk menganjurkan forum bertajuk ‘Revisiting the Malaysia Agreement’ pada 29 September nanti di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Penganjuran dua lagi forum besar-besaran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai pembuka tirai jelajah seluruh negara pula akan diumumkan kelak. -Roketkini.com