Berita

MB Selangor: Pemuda Pakatan akan temu Kit Siang, Anwar dan Hadi

SUBANG JAYA, 8 SEPT: Pemuda Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama parti komponen Pakatan demi menyelesaikan secepat mungkin isu Menteri Besar Selangor.

Dalam satu kenyataan bersama, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong, Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Dewan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata pertemuan dengan tiga pemimpin tertinggi Pakatan itu dilakukan secara berasingan.

“Kami akan bertemu secara berasingan dengan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar brahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam waktu terdekat untuk menyampaikan hasrat dan harapan anak muda Malaysia.

“Pemuda Pakatan bermuafakat menggesa krisis ini diselesaikan segera,” kenyataan bersama tersebut dipetik sambil menyatakan harapan anak muda untuk melihat krisis itu ditangani segera.

Usaha menyelesaikan isu tersebut disulitkan dengan kedegilan Abdul Hadi untuk menerima Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB baru, atas alasan Wan Azizah ‘tidak berkemampuan’ menggalas tanggungjawab itu.

Pagi tadi, pihak Istana mengeluarkan kenyataan menegur DAP dan PKR yang tetap hanya mencalonkan Wan Azizah, selepas diminta memberikan lebih daripada dua nama.

Wan Azizah sudah menerima sokongan 30 (daripada 56) Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor pada 14 Ogos lalu.

Mula kempen Mansuh Akta Hasutan

Sementara itu, Pemuda Pakatan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Khamis ini, sebagai permulaan kepada kempen memansuhkan Akta Hasutan.

“Kami memandang serius siri tangkapan akhir-akhir ini. Kami akan bertemu Menteri Dalam Negeri untuk meminta penjelasan segera terhadap isu tersebut.

“Ia adalah sebagai permulaan kepada kempen memastikan akta itu dimansuhkan serta-merta, agar tiada lagi rakyat menjadi mangsa undang-undang itu.”

Buka semula kertas siasatan Teoh Beng Hock

Pemuda Pakatan juga mendesak polis membuka kembali kertas siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, berikutan Mahkamah Rayuan minggu lalu menolak keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dalam penghakimannya, salah seorang hakim, Datuk Mohamad Ariff berkata kecederaan terhadap tubuh mendiang membuktikan ada unsur jenayah.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu memastikan siasatan terperinci dan telus. Sebarang penemuan berhubung kes ini signifikan kepada kes kematian tahanan lain, seperti kes Ahmad Sarbaini,” kata mereka lagi.

Pada 26 September 2011, Mahkamah Koroner turut memutuskan tiada unsur jenayah dalam kematian Ahmad Sarbaini, yang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April tahun yang sama.

Menurut Bernama, keluarga mendiang pada 4 April lalu memfailkan tuntutan saman RM8 juta terhadap SPRM, kerajaan dan tujuh defendan lain berhubung kes itu. – Roketkini.com