Berita

Kakitangan dan pelajar UM anjur himpunan aman, tubuh gerakan Solidarity4AzmiSharom

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) menubuhkan gerakan Solidarity4AzmiSharom, tanda sokongan kepada pensyarah undang-undang UM Prof Madya Dr Azmi Sharom yang kini didakwa di bawah Akta Hasutan.

Kedua organisasi itu turut menganjurkan himpunan aman pada hari Rabu, 10 September ini bermula jam 1.00 petang di hentian bas utama Universiti Malaya sebagai tanda perjuangan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

“Komitmen kami untuk menjadikan Universiti Malaya sebuah institusi pengajian tinggi yang menegakkan kebenaran, keadilan dan keterbukaan demi kebaikan negara.

“Kami diyakinkan oleh aspirasi pendidikan tinggi kebangsaan bahawasanya sistem pendidikan kami memupuk individu mempunyai pemikiran kritis serta serba boleh secara holistik,” menurut kenyataan dari laman Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Kenyataan itu menegaskan sebagai komuniti akademik berminda kritis hujah Azmi adalah munasabah, dan sebagai pakar undang-undang pendapatnya tentang perkara perundangan wajar didengar.

“Kami menganggap dakwaan terhadap Dr Azmi di bawah Akta Hasutan sebagai pencabulan hak asasi, kebebasan bersuara, serangan terhadap prinsip murni kebebasan akademik dan percubaan menggertak masyarakat akademik untuk menanamkan ketakutan dan mengekang perbezaan pendapat.

“Kebebasan akademik diperlukan supaya universiti boleh berfungsi sebagai tempat pengajian tinggi dan kecemerlangan di mana idea dan pendapat kritikal dikongsi bersama.

“Penghakisan kebebasan akademik menghakis kewibawaan serta semangat soal-menyoal yang kritikal yang menjadi tunggak kepada kehidupan akademik,” tegas kenyataan tersebut.

Gabungan itu terkejut dan kecewa dengan tindakan kerajaan yang sepatutnya memilih dialog dan debat selaras aspirasi sebuah negara maju, sebaliknya langkah yang diambil mengekang ahli akademik yang melaksanakan peranannya sebagai intelektual awam dan pengajar.

Memetik Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan Malaysia, gabungan itu menyatakan sistem pendidikan seharusnya melahirkan generasi berpengetahuan, berfikiran kreatif dan kritikal, mempunyai kemahiran kepimpinan serta mampu berkomunikasi dengan seluruh dunia.

“Sememangnya kini, seluruh dunia sedang memerhatikan kita. Sepatutnya mereka yang tidak sependapat dengannya melaksanakan hak bersuara yang sama melalui cara yang sama sekiranya ingin menyangkal pendapat beliau,” ujarnya.

Justeru, gabungan itu menjemput ahli PKAUM, warga Universiti Malaya dan orang ramai untuk turut bersama himpunan Rabu ini dan menyertai satu kuliah ringkas ‘Short Talks for Freedom’ sejurus selepas himpunan di Gazebo Perdanasiswa.

Prof Madya Dr Azmi Sharom didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 2 September lalu berhubung satu artikel ditulisnya yang disiarkan laman web Malay Mail Online pada 14 Ogos.

Artikel tersebut menyentuh isu pengisian jawatan Menteri Besar Selangor mengikut landasan perundangan paling sah iaitu melalui sidang Dewan Undangan Negeri dan pengundian, bukan melalui mesyuarat dan rundingan di luar Dewan. – Roketkini.com