Berita

Chin Tong tak putus asa, pastikan Pesta Kluang berjaya

KLUANG, 8 SEPT: Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong tetap tidak berputus asa untuk memastikan kejayaan Pesta Kluang yang dijadualkan berlangsung bermula 13 hingga 20 September ini walaupun berdepan masalah mendapatkan kelulusan menggunakan tapak.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dengan Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

“Kita akan cuba untuk terus berbincang untuk menjayakan program ini. Kita ingin Pesta Kluang berjalan dengan baik,” katanya kepada Roketkini tadi.

Beliau juga mempersoalkan tindakan MPK yang cuba bermain politik dengan menghalang program itu diadakan di Dataran Kluang yang merupakan premis milik MPK, hanya kerana ia dianjurkan wakil rakyat Pakatan.

Majlis Perbandaran Kluang (MPK) melengah-lengahkan proses kelulusan permohonan tapak Pesta Kluang anjuran Pusat Komuniti Kluang (KCC) dengan alasan program tersebut dianjurkan parti politik.

Perkara tersebut menyulitkan kerja-kerja persediaan awal KCC dalam menjayakan Pesta Kluang yang akan berlangsung tidak sampai 10 hari lagi dari sekarang.

Walaupun KCC telah menyerahkan surat pemohonan kepada MPK dan telah melakukan pelbagai susulan sejak tiga bulan lalu, namun masih gagal mendapat kelulusan

MPK dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor sebelum ini tanpa berselindung menyatakan tidak akan meluluskan sebarang program yang dianjurkan Pakatan.

Ini bukanlah kali pertama peristiwa seumpama ini berlaku. Sebelum ini, Chin Tong dan Ahli Dewan Undangan Mengkibol Tan Hong Ping dihalang sekumpulan petugas dengan pakaian berlogo Umno ketika melawat Bbazar Ramadhan Bandar Kluang 30 Jun lalu.

Program julung kali anjuran Pusat Komuniti Parlimen Kluang itu menampilkan pelbagai acara bagi memupuk semangat kebersamaan dan kejiranan masyarakat majmuk di sana.

Penganjur juga menyediakan dana RM10,000 untuk anak muda dan golongan kreatif Kluang yang ingin memulakan sebarang projek kreatif dan akar umbi.

Untuk mengetahui maklumat lanjut berhubung program Pesta Kluang, sila layari laman Facebook Festival Kluang atau menghubungi sekretariat di talian 07-7779758, 014-317 4833, atau 016-718 1758 dan emel : [email protected] Roketkini.com.