Berita

MB Selangor: Pemimpin utama perlu duduk semeja – Wanita Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Rakyat (MPWPR) menggesa pemimpin utama ketiga-tiga parti agar segera duduk semeja bagi mencari penyelesaian terbaik dalam kemelut berlanjutan isu Menteri Besar Selangor.

Ketua Wanita DAP Chong Eng, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff dalam kenyataan bersama hari ini menyatakan penyelesaian segera perlu dilakukan berikutan amanah yang telah diberikan warga Selangor kepada Pakatan dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lalu.

“Hak-hak majoriti dan demokrasi seharusnya menjadi prinsip dalam apa jua tindakan dan keputusan kita. Semangat setiakawan dalam kerjasama politik parti-parti Pakatan adalah kerjasama terbaik sebagai satu manifestasi politik baru.

“Justeru, kerjasama ini perlu dipertahankan dengan semangat saling menghormati dan melengkapi antara satu sama lain.

“Prinsip-prinsip bersama yang telah dipersetujui selama ini perlu dihormati dan dipatuhi bagi memastikan kelangsungan kesepakatan rakyat selari dengan tekad kita bahawa Pakatan Harapan Rakyat,” kata mereka dalam kenyataan selepas Mesyuarat MPWPR di Ibu Pejabat DAP.

Sebelum ini pada 8 September lalu, Pemuda Pakatan Rakyat menyatakan akan bertemu pimpinan utama parti komponen masing-masing demi menyelesaikan isu MB Selangor secepat mungkin.

Usaha menyelesaikan isu tersebut kini dilihat menjadi sulit berpunca daripada kedegilan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menerima Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB baru, atas alasan Wan Azizah ‘tidak berkemampuan’ menggalas tanggungjawab itu.

Pada hari sama juga, pihak Istana mengeluarkan kenyataan menegur DAP dan PKR yang tetap hanya mencalonkan Wan Azizah, walaupun diminta memberikan lebih daripada dua nama.

Wan Azizah sudah menerima sokongan 30 (daripada 56) Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor pada 14 Ogos lalu. -Roketkini.com