Berita

Akta Hasutan anti-ilmu, bebaskan Ustaz Wan Ji

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Sebuah perkumpulan pengkaji dan peminat khazanah keilmuan, kebudayaan Islam dan Nusantara, Lingkaran Islam Tradisional (LIT), mengecam keras penahanan pendakwah bebas Ustaz Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan.

Penyelaras LIT Afiq Mohd Noor berkata, dakwaan yang dikenakan kepada Wan Ji bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan, malah bertentangan dengan tuntutan Islam mengenai keadilan dan kebebasan serta kepentingan ilmu.

“Islam adalah agama yang membebaskan manusia daripada perhambaan sesama mahkluk, menggalakkan manusia meneroka keluasan ilmu, mengajak manusia melawan kezaliman dan sekaligus menegakkan keadilan.

“LIT menggesa beliau dan semua yang ditahan dibebaskan dan Akta Hasutan segera dimansuhkan tanpa digantikan oleh sebarang akta lain yang kandungannya sama atau hampir sama mengekang kebebasan berpendapat.

“Akta Hasutan wajib dimansuhkan kerana ia bukan saja anti-ilmu, tetapi merupakan alat penindasan dan kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Afiq, Wan Ji adalah seorang lulusan yang faqih dalam bidangnya dan banyak terlibat dalam pengembangan pengetahuan Islam di Malaysia melalui penulisan serta kuliah di merata tempat.

“Sesuai dengan kelayakan dan ilmunya, sepatutnya sebarang rasa tidak setuju sentiasa boleh dihujahkan oleh mana-mana pihak yang berkehendak berbuat demikian,” ujarnya. -Roketkini.com