Berita

Kertas soalan UPSR bocor, Muhyiddin dituntut beri jaminan

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: DAP hari ini menuntut agar Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin memberi jaminan bahawa kebocoran mengejutkan seperti berlaku dalam kertas matapelajaran Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan berulang lagi.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, kebocoran tersebut telah memberi kesan besar kepada hampir setengah juta pelajar dan keluarga mereka, malah menghakis kepercayaan orang ramai terhadap integriti kertas peperiksaan akan datang jika ia tidak diatasi.

“Biarpun Muhyiddin telahpun memohon maaf atas kebocoran kertas Sains itu, ia tidak mencukupi.

“Beliau mesti memberi jaminan perkara seperti itu tidak akan berlaku untuk kertas Sains yang akan diambil pada tarikh baru nanti, iaitu pada 30 September.

“Muhyiddin perlu menunjukkan komitmennya dengan berjanji untuk meletakkan jawatan jika kebocoran masih berlaku dalam kesemua peperiksaan sekolah di Malaysia. Tetapi adakah dia berani membuat janji ini?” katanya dalam satu kenyataan.

Kian Ming turut menggesa Muhyiddin untuk turut memastikan kebocoran sama tidak berlaku untuk peperiksaan Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Saya juga memohon Muhyiddin untuk turut memberi jaminan bahawa kebocoran serupa tidak akan berlaku untuk kertas peperiksaan Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang akan berlangsung 13 hingga 17 Oktober nanti dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 3 November hingga 2 Disember, termasuk peperiksaan bertulis STPM.

“Integriti dan keselamatan PT3, SPM dan STPM adalah lebih penting memandangkan jika kebocoran berlaku lagi, tidak mungkin penangguhan boleh dilakukan kerana masa tidak mengizinkan,” ujarnya.

Jelas Kian Ming, khabar angin tentang kebocoran kertas SPM telah berlaku tahun lalu, namun Lembaga Peperiksaan menolak untuk mempercayainya.

“Sebagai tindak belas kepada khabar angin, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasatnya.

“Malangnya, tidak ada sebarang butiran yang dilaporkan oleh petugas khas. Jika mereka telah menjalankan tugas, mengapa tidak ada sebarang cadangan untuk mengelak dari berlakunya kebocoran kertas Sains UPSR?,” soalnya.

Muhyiddin semalam telah menyatakan permohonan maaf kepada ibu bapa dan pelajar berhubung kertas soalan UPSR yang didapati bocor sehingga terpaksa ditangguhkan kepada 30 September.

Kertas peperiksaan Sains itu sepatutnya diduduki pelajar pada jam 8.15 pagi sehingga 9.30 pagi hari ini.

Menurut Kementerian Pendidikan, pihaknya menerima laporan bahawa kertas Sains dengan kod 018, 028 dan 038 telah bocor. -Roketkini.com