Berita

DAP Sarawak minta Ketua Menteri dedah pemilik tanah premium di Batu Kawa

KUCHING, 12 SEPT: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menggesa  kerajaan negeri dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk mendedahkan pihak yang memulakan kerja tapak di atas tanah seluas 263.6 di Batu Kawa (MJC) Kuching.

Beliau terkejut apabila tinjauannya baru-baru ini ke tapak mendapati kerja menambak tanah telah dimulakan, sedangkan cariannya di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak pada 30 Julai lalu mengesahkan bahawa kerajaan negeri adalah pemilih tanah tersebut.

“Persoalan yang segera terlintas di fikiran saya ialah sama ada kerja itu dilakukan oleh ‘syarikat-syarikat kroni’ atau ia dilakukan oleh kerajaan sendiri.

“Namun, ia tidak mungkin berlaku kerana kerajaan negeri tidak akan menjalankan kerja-kerja menambak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Justeru, satu surat aduan kepada pihak berkuasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan salinannya turut dihantar kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.

Kata Chong sekiranya terdapat permohonan pembangunan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk kerja menambak di tapak tersebut, pihak atau syarikat yang bertanggungjawab wajar didedahkan kepada umum.

Ini kerana menurut Chong, tidak ada sebarang papan tanda yang memperincikan kerja, tempoh projek dan nama syarikat yang terbabit untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.

“Siapa yang membuat permohonan dan apa locus standi (hujah) permohonannya? Sukar dipercayai apabila seseorang boleh secara terang-terangan menceroboh tanah milik negeri yang terletak bersebelahan jalan utama dan menjalankan kerja tambakan, seolah-olah tanah itu miiik mereka,’ katanya.

Chong sebelum ini mengemukakan cadangan pembinaan 104 pangsapuri lima tingkat dengan 30 unit rumah bagi setiap blok, dengan jumlah keseluruhan 3,120 unit rumah uk uk penduduk miskin di Batu Kawa.

Pelan cadangan bagi tapak seluas lima ekar itu turut menyediakan kemudahan sukan termasuk kolam renang, padang bola sepak, balapan, dewan badminton dan bola keranjang selain dua buah sekolah rendah.

Cadangan pembangunan tersebut dikemukakan bagi pembangunan bersepadu di atas tanah plot 127, 128, 2301 dan 2304 di dalam Blok 225 daerah Kuching Utara yang berkeluasan 106 hektar.

Cadangan pembangunan itu menurut Chong perlu diuruskan syarikat miik kerajaan negeri seperti Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd dan diselia  oleh Kementerian Perumahan.

Unit rumah yang dicadangkan itu mempunyai tiga bilik dengan dua bilik air dan dicadangkan dijual pada harga mampu milik kira-kira RM150,000 melalui skim sewa-beli melalui skim bayaran bulanan diantara RM250 ke RM400.

Namun, ahli parlimen Bandar Kuching itu tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung cadangan tersebut selepas dikemukakan kepada Ketua Menteri, 31 Julai lalu. – Roketkini.com