Berita

Peratusan pelancong asing dan tempatan guna LTAB Pulau Pinang meningkat

GEORGE TOWN 12 SEPT: Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Bayan Lepas, Pulau Pinang mencatat peningkatan sebanyak 33 peratus bagi ketibaan domestik dan lapan peratus bagi ketibaan antarabangsa bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2013.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, LTAB Bayan Lepas menerima kira-kira 268,000 penumpang penerbangan domestik, manakala lebih 196,000 bagi ketibaan antarabangsa menjadikan lapangan terbang di negeri ini pintu masuk kedua terpenting bagi laluan udara Malaysia.

“LTAB Pulau Pinang adalah yang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia. Setiap minggu 55 penerbangan kargo berlepas dari Pulau Pinang ke seluruh dunia.

“Dalam masa sama kira-kira 450,000 ketibaan penumpang ke lapangan terbang ini direkodkan setiap tahun,” kata Guan Eng ketika merasmikan penerbangan perdana Firefly dengan pesawat berkuasa kipas ATR72 600 dari Pulau Pinang ke Krabi, Thailand, semalam.

Jelas Guan Eng, Pulau Pinang sebagai negeri yang penting di utara semenanjung turut menyumbang 60 peratus dari keseluruhan anggaran 555,000 pelancong kesihatan ke negara ini setiap tahun,

Difahamkan bagi tahun 2013 sahaja, tujuh institusi di bawah Persatuan Kesihatan Pulau Pinang (PHA) mencatat pendapatan sebanyak RM280 bilion.

Justeru kata Guan Eng, lapangan terbang di negeri ini memainkan penting lebih-lebih lagi kedudukan strategik Pulau Pinang di dalam wilayah pertumbuhan segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

“Pulau Pinang sebagai sebuah bandar yang maju dengan lokasi yang sangat baik, dilengkapi infrastruktur, institusi perbankan dan kewangan terkenal dan perkhidmatan perubatan dan pengajian yang diiktiraf adalah hab komersial penting yang akan merangsang pertumbuhan ke dalam IMT,” kata Guan Eng.

Tambahnya, kesan positif laluan baru Firefly ke Thailand akan menjadikan Pulau Pinang sebagai pintu masuk kedua untuk Malaysia bagi destinasi jarak sederhana dan jauh.

Usahasama Firefly dan syarikat induknya Malaysia Airlines di Pulau Pinang membuka pintu bagi Malaysia, Sumatera dan Thailand bagi destinasi ke Eropah, Oceana, Asia, Amerika dan pasaran Timur Tengah bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan potensi sektor pelancongan.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian Firefly dan berharap agar mereka dapat berkhidmat di wilayah IMT-GT dan menjadikan Pulau Pinang sebagai hab utara ke Thailand dan juga Indonesia.

“Tahniah kepada pasukan Firefly untuk penerbangan sulung mereka ke Krabi, kata Guan menjelaskan pertumbuhan dan perkembangan syarikat penerbangan tempatan itu akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang secara khusus, dan Malaysia secara amnya. – Roketkini.com