Berita

Fitnah jahat Zahid Hamidi, DAP Perak buat laporan polis

IPOH, 24 SEPT: Satu laporan polis dibuat terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung fitnah kepada DAP dengan ucapan yang berbaur hasutan dan mengandungi sentimen perkauman di Tumpat, Kelantan.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh oleh Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh, diiringi Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar, Adun Pasir Pinji Howard Lee Chuan How dan Adun Pokok Assam Teh Kok Lim.

Kah Woh berkata, tuduhan Zahid jelas bersifat hasutan dan dibuat dengan niat buruk untuk mengapi-apikan sentimen negatif kepada masyarakat Melayu.

“Tuduhan Zahid bahawa DAP membaling batu kepada Raja Muda semasa demonstrasi di Kuala Kangsar ketika krisis perlembagaan Perak sama sekali tidak berasas.

“Kami mencabar beliau membuktikan kenyataannya itu atau menarik balik dan memohon maaf secara terbuka kepada DAP serta seluruh rakyat Perak atas fitnah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Malay Mail Online semalam melaporkan seruan Zahid kepada masyarakat Pengkalan Kubor agar ‘mempertahankan hak-hak mereka’ selain menyebut ‘langkah mayat saya dulu’ dengan mengaitkan DAP berhubung krisis perlembagaan Perak.

“Saya masih ingat semasa krisis Perak, mereka membantah (pengambilalihan BN) dan cuba menyekat pintu masuk pintu masuk bangunan negeri. Kamu tahu siapa yang berbaring di jalan? Semua orang Melayu,” kata Zahid.

“Di manakah orang-orang DAP? Mereka membaling batu ke arah Raja Muda…mereka juga membaling batu pada kereta saya. Saya berada di sana. Apabila mereka lakukan perkara ini, orang Melayulah yang telah berbaring di jalanraya,” kata Zahid.

“Dengan kenyataan berunsur hasutan dan fitnah itu, kami berharap Polis dan Peguam Negara mengambil tindakan, seperti yang dilakukan terhadap pimpinan pembangkang

“Atau adakah Zahid ini kebal dari undang-undang?” soalnya.