SERDANG, 25 SEPT: DAP Selangor hari ini mengecam tindakan MCA yang mendakwa parti komponen Pakatan itu tidak layak menyalahkan pihak lain berhubung kegagalan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Eddie Ng Tien Chee berkata, MCA seharusnya mencermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum membuat serangan kepada Pengerusi Negeri Tony Pua.
“DAP hanya mengemukakan cadangan bernas berdasarkan fakta dan statistik kepada pimpinan Menteri Besar Selangor demi kebaikan rakyat, itu beza kami dengan MCA yang sering mengarut serta memberikan pendapat tidak relevan.
“Tanpa mengira memimpin atau tidak, DAP sentiasa menjalankan tanggungjawab sedaya upaya di negeri masing-masing, tetapi MCA menutup pusat khidmat mereka di seluruh Selangor setelah kalah teruk PRU ke-13 termasuk mungkir janji dengan kembali menyertai Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong itu menegaskan, di negara demokrasi, sesiapapun berhak dan bebas mengeluarkan pendapat demi kebaikan bersama.
“Perbuatan itu bukannya ‘mendalihkan tanggungjawab’ tetapi pengawasan terhadap kerajaan. DAP tidak pernah rasa kurang percaya terhadap kebolehan Khalid Ibrahim sejak PRU ke-12.
“Namun, kepimpinannya dicurigai maka kami memutuskan menggantikan Khalid dengan pendirian DAP yang tegas dan berprinsip,” ujarnya.
Beliau turut mencabar MCA supaya lebih berani dan bertindak tegas terhadap Umno jika benar mereka mementingkan kebaikan rakyat.
Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon semalam mendakwa Tony Pua tidak layak menyalahkan pentadbiran Khalid kerana DAP turut terlibat dalam proses membuat dasar dan kegagalan kerajaan negeri adalah sebahagian tanggungjawab DAP. – Roketkini.com