Berita

155 pelarian Uighur ditemui di kondominium, kecekapan imigresen dipersoal

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Penemuan mengejutkan 155 pelarian Uighur di sebuah konodminium di Kuala Lumpur menimbulkan persoalan berhubung integriti dan kecekapan pihak imigresen dan pasukan keselamatan negara.

Ahli Parlimen Seganbut Lim Lip Eng dalam satu kenyataannya mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan terhadap pegawai di agensi berkenaan, kerana dibimbangi wujud aktiviti perdagangan manusia.

“Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat 20 Jun lalu meletakkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tahap 3, sebagai ‘antara negara paling teruk menjalankan aktiviti perdagangan manusia’.

“Pelbagai usaha yang dikemukakan oleh kerajaan nampaknya sia-sia, sempadan negara masih begitu mudah dibolosi.

“Barangkali Semenanjung Malaysia juga memerlukan suatu sistem seperti Esscom di Sabah demi memastikan keselamatan sempadan negara terjaga daripada anasir luar yang nampaknya begitu mudah menerobos lapisan keselamatan,” kata Lip Eng.

Pada 3 Oktober lalu, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur yang melakukan serbuan menemui 155 warga asing etnik Uighur dari China dikesan dalam keadaan berasak-asak di dua unit kondominium di Bukit Jalil di sini.

Difahamkan kumpulan itu termasuk 76 kanak-kanak dan bayi dipercayai melarikan diri dari China sebelum menyeludup masuk ke negara ini melalui ‘lorong tikus’ sejak lebih tiga minggu lalu.

Kumpulan itu menggunakan pengangkutan laut bagi melarikan diri dari penempatan asal di kawasan barat laut Xinjiang, China dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi persembunyian sementara.

Justeru kata Lip Eng tindakan disiplin terhadap pentadbiran Jabatan Imigresen nampaknya langkah terbaik buat masa ini, seperti peletakan jawatan Datuk Azhar Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat MRT berikutan tragedi kemalangan di tapak pembinaan MRT.

“Tindakan tegas mesti diambil oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, lantaran situasi semasa yang merunsingkan akibat menularnya gerakan pengganas antarabangsa

“Dalam keadaan di mana pihak keselamatan sepatutnya berjaga-jaga, bagaimana pendatang asing tanpa izin begitu mudah meloloskan diri, dan kemudian menetap pula secara senyap-senyap di tengah ibu kota? soal Lip Eng. – Roketkini.com.