Berita

Majlis pimpinan perlu bincang, pulih keyakinan rakyat pada Pakatan – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencadangkan satu pertemuan pada sidang Dewan Rakyat yang bermula 7 Oktober ini untuk berbincang, bagi memulihkan keyakinan rakyat Malaysia kepada Pakatan Rakyat.

Kata Kit Siang, Pakatan Rakyat kini mengalami keadaan ‘terluka’ yang serius selepas enam tahun kewujudannya, lantaran krisis Menteri Besar Selangor dan kedudukan tersebut perlu dibincangkan dalam persediaan menghadapi pilihanraya umum ke-14.

“Sudah dua minggu Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor, namun persoalan sama ada Pakatan Rakyat masih relevan menjadi harapan rakyat bagi perubahan dan kepimpinan politik masih belum dijawab,” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Tambah Kit Siang, parti komponen Pakatan Rakyat PAS, PKR, dan DAP masih ‘berhutang’ kepada 52 peratus pengundi yang mengundi gabungan ini dalam pilihanraya umum ke-13.

Katanya, rakyat ternanti-nanti jawapan yang jelas sama ada pakatan itu bercadang untuk menangani isu kritikal atau jodohnya berada di ‘peringkat akhir’.

“Inilah sebabnya mengapa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, yang nampak tempang kerana bercanggah daripada salah satu daripada dua prinsip asas yang utama, iaitu kesepakatan, perlu bertemu segera semasa sesi Parlimen yang bermula esok.

“Ia bagi mengesahkan iltizam dan pegangan parti komponen Pakatan Rakyat kepada dua prinsip asas, iaitu menegakkan rangka kerja dasar bersama dan mematuhi prinsip kesepakatan antara tiga parti komponen,” tegas Kit Siang.

Tambahnya, dua prinsip tesebut yang membentuk Pakatan Rakyat menjadi tenaga ampuh sehingga memberi saingan sengit kepada Umno-BN dalam pilihanraya lalu dan mampu menjadi kerajaan di Putrajaya.

Justeru itu kata Kit Siang, sebuah jawatankuasa kerja melalui tiga atau empat wakil daripada setiap parti komponen Pakatan perlu dibentuk dan dipertanggungjawab untuk merumus cadangan bagaimana gabungan ini boleh belajar daripada krisis baru-baru agar tidak diulangi pada masa depan.

Pakatan Rakyat di Selangor kata Kit Siang bernasib baik krisis Menteri Besar tidak berlarutan kerana Umno-BN begitu lemah dan gagal mengambil kesempatan.

“Saya boleh memahami kekecewaan dan kemarahan Tun Dr Mahathir bahawa Umno gagal mengambil kesempatan ke atas ‘kemelut’ Pakatan Rakyat dalam isu Menteri Besar Selangor.

“Tetapi pada masa akan datang, Pakatan Rakyat belum tentu bernasib baik,” kata Kit Siang. – Roketkini.com