Berita

Dakwaan bawah Akta Hasutan: Doktrin pembahagian kuasa hanya sandiwara

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri bahawa kerajaan berpegang teguh kepada amalan pembahagian kuasa dan tidak pernah campur tangan dalam urusan Pejabat Peguam Negara adalah tidak berasas, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Nancy telah membuat kesalahan besar dalam soal pembahagian kuasa, kerana dalam doktrin pembahagian kuasa antara Eksekutif, Perundangan dan Badan Kehakiman, Peguam Negara adalah sebahagian daripada eksekutif dan bukannya badan kehakiman.

“Pembahagian kuasa adalah sama sekali tidak relevan dan tidak terpakai dalam pendakwaan hasutan, kerana ia merupakan tindakan eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, walaupun Perkara 145 (3) Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Peguam Negara haruslah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memula, menjalan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan, keputusan pendakwaan tetap merupakan tindakan eksekutif.

Jelas Kit Siang, ia bermakna Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memikul tanggungjawab penuh bagi keputusan Peguam Negara.

Tambahnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana negara demokrasi berparlimen apabila Peguam Negara memberi imej buruk dengan melakukan pendakwaan terpilih dan berniat jahat menggunakan undang-undang penjajah.

“Najib perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan menghentikan penangkapan di bawah Akta Hasutan kerana ia juga jelas bertentangan dari usaha menjadikan Malaysia sebagai negara ‘demokrasi terbaik dunia’.

“Mengapa Najib membenarkan Peguam Negara menghina janjinya? Apakah dia telah memberi kuasa secara rahsia kepada Peguam Negara? Apakah pentadbiran negara sekarang ini diperintah oleh dua kepala dalam satu kerajaan?” soalnya,

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan menjelaskan mengapa Akta Hasutan tidak dimansuhkan lagi sedangkan Najib sendiri sudah berjanji untuk memansuhkannya.

Nancy menyatakan, kerajaan buat masa sekarang tidak mempunyai akta lain untuk bertindak ke atas kecenderungan menghasut dan masih perlu bergantung dengan Akta Hasutan.

Kata Nancy, kerajaan tidak pernah pilih kasih mahupun campur tangan dalam mengenakan hukuman kerana kuasa pendakwaan terletak kepada Pejabat Peguam Negara sepertimana termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. – Roketkini.com