Berita

Naik harga minyak, laksana GST: Kerajaan khianat amanah

KUALA LUMPUR, 7 OKT: DAP mengecam kenyataan Ahli Parlimen BN yang mendakwa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) April tahun depan akan lebih menyenangkan rakyat.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Nor Azmi hanya mengiyakan tindakan zalim kerajaan tanpa langsung memikirkan nasib rakyat.

“Itu bahasa Barisan (BN)…Kerajaan telah menaikkan harga petrol, tentunya akan menyebabkan inflasi, semua pakar ekonomi bersetuju bahawa inflasi adalah sesuatu yang tidak baik pada negara.

“Sekarang harga petrol dinaikkan, ia pasti menyebabkan barangan lain dalam pasaran turut naik. Ini bermakna GST akan dilaksana dalam keadaan rakyat sudah pun terhimpit,” kata Sivakumar ketika mencelah dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Di Parlimen hari ini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata kenaikan harga barangan daripada pelaksanaan cukai GST pada 1 April 2015 hanya bersifat ‘sementaraa’ dan ‘sekali sahaja’.

Katanya, berdasarkan trend di lebih 160 negara yang telah melaksanakannya, peningkatan inflasi itu hanya one-off dan kemudian ia akan distabilkan.

Kata Sivakuma, langkah tersebut ‘menjerut leher’ rakyat kerana kenaikan harga barang berlaku lebih awal sebelum pelaksanaan GST, secara tidak langsung menambah beban hutang isi rumah dan menyebabkan kemiskinan semakin bertambah.

“Laksana GST pada situasi harga barang sudah naik, sekaligus lebih memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol ROM 95 sebanyak RM0.20 sen dari kepada RM2.10 kepada RM2.30 seliter, sementara harga diesel pula menjadi RM2.20 seliter dari RM2.00. – Roketkini.com