Berita

Belanjawan 2015: Kenaikan RM50 tak selesai masalah OKU -Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan meningkatkan bantuan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), namun kadar baru tersebut masih belum mencukupi untuk meringankan beban mereka.

“Pada saya kenaikan sebanyak RM50 daripada RM300 kepada RM350 untuk golongan OKU yang bekerja dan RM150 kepada RM200 kepada yang tidak bekerja sangat kurang.

“Kerajaan sepatutnya sedar masih terdapat ramai golongan miskin yang bergantung sepenuhnya kepada elaun dan memperakui bahawa kadar kemiskinan di negara ini meningkat setiap tahun.

“Kalau nak kata naik RM50 sebagai berita baik, OK…tetapi semua ini adalah pemberian sekali (one off) sahaja,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Naib Pengerusi DAP itu turut mendesak kerajaan membaikpulih pengurusan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang tidak diberikan secara menyeluruh kepada warga miskin dan golongan kurang berkemampuan.

“(Pemberian) BR1M yang dinaikkan memang satu berita baik, tetapi perkara utama yang kita nak tahu adalah, kenapa masih banyak golongan berpendapatan rendah dan miskin yang layak tapi tidak mendapatnya?” soal Teresa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM 2.2 bilion melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi pelaksanaan program kepada golongan yang memerlukan, termasuk OKU.

Sebanyak RM66 juta diperuntukkan untuk membantu 110,000 OKU di seluruh negara, dengan kadar bantuan OKU bekerja dinaikkan dari RM300 kepada RM350, manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan dari RM150 kepada RM200. – Roketkini.com.