Berita

Peguam Negara diseru tangguh semua dakwaan bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Peguam Negara diseru mempertimbangkan bagi mengarahkan semua dakwaan di bawah Akta Hasutan ditangguhkan, termasuk terhadap pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom yang kini dalam semakan perlembagaan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, ini berikutan persetujuan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas hari ini yang menangguhkan dakwaaan keatas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik, sementara menunggu keputusan permohonan Dr Azmi.

“Kedudukan ini perlulah seiring dengan semua perbicaraan di bawah Akta Hasutan yang belum selesai.

“Perlu ada kesaksamaan, dan jika Pendakwa Raya tidak membantah bagi kes ini, tidak ada sebab bagi kes-kes lain melibatkan pendakwaan sama untuk dibicarakan,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu kata Gobind, semua prosiding melibatkan pendakwaan di bawah Aka Hasutan terbatal sekiranya permohonan Dr Azmi berjaya di Mahkamah Tinggi.

“Kita perlu berpegang bahawa Mahkamah Tinggi kini diminta mempertimbangkan perkara tersebut, smentara kita menunggu keputusan sebelum meneruskannya dengan pendakwaan.

Keputusan semakan perlembagaan bagi mencabar kedudukan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 Dr Azmi Sharom ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi pada 5 dan 6 November.

Gobind dalam kenyataannya sebelum ini berkata, Perkara 10(2) Perlembagaan jelas menyatakan bahawa hanya Parlimen yang boleh mengenakan sekatan ke atas hak-hak di bawah Perkara 10, yang bermakna bahawa Akta Hasutan 1948 jelas tidak mengikut Perlembagaan. – Roketkini.com