Berita

Konvensyen DAP Johor: Luaskan kempen, bina sokongan di kawasan baru

SEGAMAT, 13 OKT: Meluaskan kempen DAP dan pembinaan sokongan di kawasan baru yang belum dimenangi adalah antara strategi yang digariskan dalam persediaan parti di Johor dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Berucap di konvensyen biasa DAP Johor semalam Chin Tong berkata, perkara tersebut sebagai panduan kepada aktivis parti di negeri ini dalam menghadapi saingan dari BN, dalam masa sama membina sokongan di kawasan yang belum dimenangi oleh DAP mahu pun Pakatan Rakyat.

“Kita mahu semua wakil rakyat menjadi pemimpin masyarakat secara menyeluruh, bukan sekadar menjaga kawasan masing-masing, hingga pemimpin kita mampu membahas hal-hal dasar secara lebih komprehensif.

“Kita adalah pejuang yang tak pernah mengaku kalah, yang terus bertahan dan berusaha,” kata Chin Tong yang juga Ahi Parlimen Kluang.

Dalam ucapannya dengan tema ‘Penyertaan, Tanggungjawab dan Bangga Sebagai DAP’ Chin Tong berkata, wakil rakyat dan pimpinan DAP di negeri ini perlu menanam mentaliti dan semangat sebagai kerajaan dalam penantian (government-in-waiting).

Ini kerana katanya, dengan minda sedemikian, wakil rakyat dan pemimpin akar umbi akan bekerja dengan lebih serius dan memahami peranannya, selain memberi tunjuk ajar dan pendidikan kepada ahli parti dan masyarakat setempat.

“DAP bukan sekadar mahu meraih sokongan undi, tetapi kita mampu membina masyarakat (community building),” ujar Chin Tong yang juga Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP.

Dalam pada itu beliau turut menyentuh isu dalaman Pakatan Rakyat dan berharap pimpinan pusat agar segera menyelesaikan kemelut politik yang telah memberi persepsi buruk kepada masyarakat.

Katanya, Pakatan Rakyat perlu menanam keyakinan kepada rakyat bahawa gabungan ini dipercayai dan mempunyai dasar yang membela rakyat dengan agenda yang lebih baik berbanding Barisan Nasional.

Chin Tong turut menyatakan bahawa kunci kejayaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang adalah dengan memahami isu-su, citarasa dan aspirasi pengundi di kawasan separa bandar.

“Saya mengajak semua rakan seperjuangan untuk terus menjadikan DAP sebagai pilihan utama bagi semua warga Johor dan rakyat Malaysia,” kata Chin Tong.

Konvensyen biasa DAP Johor tema ‘Politik Baru, Wilayah Baru’ semalam dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Meneri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Hadir sama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah. – Roketkini.com