Berita

Lebuhraya Pan-Borneo: Utamakan syarikat tempatan, bukan kroni Semenanjung

KUALA LUMPUR, 16 OKT: DAP Sabah hari ini membantah keras cubaan penganugerahan kontrak pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo merentasi Sabah dan Sarawak yang bernilai RM27 bilion kepada syarikat Semenanjung, lebih-lebih kepada syarikat kroni melalui rundingan terus.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin memetik beberapa laporan media bahawa syarikat UEM-MMC menjadi pendahulu bagi mendapatkan projek itu bagi bahagian Sabah.

“Kita tahu bahawa Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (pemilik MMC) adalah kroni BN,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Isu tersebut dibangkitkan Ahli Parlimen BN Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau turut menggesa proses bidaan projek dibuat secara tender terbuka, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan.

“Kami meminta kerajaan mensyaratkan agar syarikat dari Sabah perlu menyertai konsortium yang akan membida projek ini.

“Kami tidak ingin syarikat tempatan hanya mendapat serdak dengan menjadi sub-kontraktor kepada syarikat Semenanjung yang mendapat keuntungan besar,” kata Pengerusi DAP Negeri itu lagi.

Situasi berbeza berlaku di Sarawak apabila syarikat tempatan, iaitu Cahya Mata Sarawak Bhd, Hock Seng Lee Bhd, Naim Holdings Bhd dan Zecon Bhd dijangka mendapat kontrak pembinaan lebuhraya bagi bahagian negeri itu, seperti dilaporkan The Star 11 Oktober lalu.

“Jika di Sarawak boleh (dikendalikan syarikat tempatan), mengapa tidak Sabah?

“Kami tidak ingin penduduk Sabah dilayan seperti ‘orang bodoh’. Sudahlah keuntungan melalui pembinaan lebuhraya diraih konsortium dari Semenanjung, malah menikmati konsesi tol yang mahal daripada rakyat Sabah,” katanya lagi.

‘Bukan anti-Semenanjung’

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt berkata, mereka bukan cuba menimbulkan sentimen anti-Semenanjung, tetapi hanya menggesa layanan yang saksama kepada penduduk negeri itu.

“Sabah adalah antara negeri paling miskin, walaupun menjadi penyumbang utama negera melalui hasil petroleum. Jika perkara ini berlaku (kontrak diberi kepada syarikat luar), rakyat negeri sekali lagi dirompak,” katanya. – Roketkini.com