Berita

Menggerakkan masyarakat sivil adalah jihad – Dr Maszlee

PETALING JAYA, 16 OKT – “Selamatkan nyawa anjing pun masuk syurga, apatah lagi selamatkan nyawa orang bukan-Islam,” demikian syarah Dr Maszlee Malik dalam memberikan penerangan mengenai jihad.

Menurut pensyarah UIAM itu, Islam mengajar manusia supaya menghargai nyawa. Beliau kemudiannya berkisah tentang peristiwa anjing yang hampir mati kehausan lalu diberikan air dan menyifatkan itu juga sebagai jihad.

Katanya lagi, Islam turut menganjurkan supaya memberi makan kepada fakir miskin, anak yatim dan tawanan perang. “Itulah jihad,” katanya kepada hadirin forum ‘ISIS: Pengganas atau…?’ anjuran Roketkini semalam.

“Malah, menentang salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan itu juga jihad demi menegakkan keadilan.

“Konsep politik Islam itu kena difahami dalam kerangka yang moden. Hari ini kalau kita kata politik Islam itu mestinya ada khalifah, ada baiah, dengan merujuk kepada karya-karya klasik.

“Sedangkan konsep pada hari ini dalam kerangka politik yang moden, gerakan civil society itu satu jihad,” ujarnya memberi definisi lain kepada jihad, berbanding definisi yang tercermin pada gerakan ISIS di Timur Tengah.

Forum tersebut turut menampilkan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Exco Dewan Pemuda PAS Ustaz Hafiz Musa.

ISIS kumpulan militan

Mengulas tajuk perbincangan, Zairil menjelaskan bahawa ISIS menjadi terkenal kerana kekejaman yang melampau.

“Ia menjadi tumpuan dunia kerana kekejaman dan kekerasan yang digunakan,” kata Zairil, sambil menyebut bahawa ISIS adalah gejala kepada masalah yang lebih besar.

Menurut beliau, justifikasi untuk berjihad tidak akan wujud sekiranya tidak berlaku ketidakadilan dari segi sosioekonomi dan politik serta hegemoni kuasa-kuasa Barat.

Semalam, pihak polis dilaporkan menahan 14 lagi suspek anggota kumpulan militan tersebut yang menjalankan operasi merekrut ahli melalui media sosial. Suspek termuda kumpulan tersebut baru berusia 14 tahun.

Jumlah penahanan suspek kumpulan militan ini kini mencecah 37 orang, dengan pihak berkuasa masih memburu beberapa lagi suspek. – Roketkini.com