Berita

Tiga kali enggan jawab isu rasuah, apa lagi kredibiliti yang Paul Low ada?

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Selepas tiga kali enggan memberi jawapan berhubung isu rasuah, apa lagi kredibiliti yang ada pada Datuk Paul Low, bekas Presiden Transparency International-Malaysia yang dibawa masuk ke dalam Kabinet untuk menangani isu itu?

Ahli Parlimen Kapar Ko Chung Sen berkata, jawapan parlimen yang diberikan Low berhubung soalannya tentang maklumat kes rasuah yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sangat mengecewakan.

Pada sidang Parlimen Jun lalu, beliau meminta kerajaan menyatakan dengan terperinci jumlah kes rasuah sepanjang tahun 2009 hingga 2013, berdasarkan jumlah wang yang terlibat.

Namun, Low hanya memberikan jumlah keseluruhan, iaitu 5517 kes, tanpa menyatakan pecahan terperinci seperti yang diminta.

Pada sidang kali ini pula, Ko meminta jumlah kes rasuah yang disiasat, melibatkan wang kurang daripada RM1000 dan juga yang melebihi RM1 juta.

Namun, Low hanya menyatakan SPRM tidak dapat menyediakan maklumat tersebut.

“Saya kecewa kerana tidak mendapat jawapan kepada soalan yang amat mudah. Apatah lagi SPRM adalah agensi kerajaan yang memiliki 2,331 kakitangan, dan mendapat peruntukan RM298 juta tahun ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen pagi tadi.

“Mengapa tidak boleh didedahkan (maklumat itu)? Apakah yang beliau perlu sembunyikan dalam hal ini?” soalnya lagi.

Rasuah semakin parah

Lebih parah daripada kegagalan itu, kata Ko lagi, tiada peningkatan ketara dalam usaha kerajaan memerangi rasuah sejak Low menjadi menteri.

“Ketika menyertai kabinet, Low berjanji tidak akan berkompromi dan menggesa rakyat bersama-samanya memerangi rasuah. Namun, kita tidak melihat peningkatan ketara,” katanya.

Beliau merujuk laporan ‘Fraud, Bribery and Corruption 2013’ oleh KPMG Januari lalu, yang mendapati 71 peratus responden yakin bahawa rasuah tidak dapat dielakkan dalam perniagaan.

Katanya lagi, ia adalah bukti jelas bahawa Low telah hilang kredibilitinya sebagai menteri yang bertanggungawab dalam soal ketelusan dan integriti.

“Beliau menghampakan rakyat dan kata-katanya sendiri, dan hanya menjadi jurucakap bergaji tinggi bagi SPRM dan kerajaan BN,” katanya lagi.