Berita

Taman riadah jadi stor swasta, PBT perlu hentikan pembinaan segera – Adun Mentakab

MENTAKAB, 23 OKT: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) perlu segera mengeluarkan ‘stop order’ terhadap projek pembinaan setor penyimpanan barang di atas taman riadah yang mengundang kemarahan penduduk setempat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Desakan tersebut disampaikan melalui surat kepada Yang di-Pertua MPT Dato’ Syed Mohd Nor Syead Jaafar 19 Oktober lalu.

Memetik surat itu, ia dibuat ekoran bantahan penduduk Taman Rimba di sini, yang sekian lama menjadikan taman riadah tersebut sebagai pusat riadah dan komuniti.

“Menurut penduduk, taman telah wujud sejak tahun 1975, manakala gelanggang bola keranjang pula sekitar tahun 1980-an. Pada masa ini, itulah satu-satunya tempat riadah bagi penduduk Taman Rimba.

“Penduduk di sini rasa ditipu, sememangnya kawasan perumahan yang besar (seperti Taman Rimba) memiliki kemudahan asas seperti kawasan riadah ini.

“Maka saya memohon MPT mengeluarkan arahan sementara menghentikan kerja-kerja tanah sehingga satu penyelesaian menyeluruh dicapai,” katanya seperti dipetik surat tersebut.

surat bantahan taman rimba

Pada 14 Oktober lalu, penduduk Taman Rimba dikejutkan dengan ketibaan kontraktor yang mengorek tanah di situ.

Sebuah papan tanda juga dinaikkan atas cadangan projek ‘Cadangan Membina Setor Menyimpan Barang-barang Runcit’ dan nama syarikat Jin Bee Enterprise Sdn Bhd.

Pengerusi DAP Pahang itu turut menggesa MPT menjalankan siasatan ekoran taman awam tersebut tidak termasuk dalam hak milik MPT, sehingga boleh diambil syarikat swasta.

“Mengikut kebiasaan, projek yang diluluskan mesti melalui satu jawatankuasa kecil dan diberikan kepada Ahli Majlis PBT yang bertanggungjawab, terutama kes seperti ini yang melibatkan keperluan asas penduduk.

“Saya difahamkan Ahli Majlis kawasan itu pun tak diberitahu tentang projek ini. Bagaimana perkara ini boleh terlepas pandang?” soalnya lagi.

Selain kepada MPT, surat bantahan itu turut diserahkan antaranya kepada Menteri Besar Tan Sri Adnan Yaakob, Exco Kerajaan Tempatan Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail, Adun Lancang Dato’ Mohd Shakar Shamsuddin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Temerloh. – Roketkini.com