Berita

Kit Siang cabar Najib jadikan Sabah negeri contoh bebas rasuah

KOTA KINABALU, 26 OKT: DAP mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman supaya menjadikan negeri itu sebagai contoh pentadbiran bebas rasuah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, cabaran itu perlu disahut, jika benar kepimpinan kerajaan benar-benar mahu melawan rasuah dan bukannya berterusan membiarkan negeri di bawah bayu itu sebagai pusat kegiatan rasuah.

“Bolehkah kerajaan dan SPRM menjelaskan mengapa mereka dilihat sangat tenang, tidak aktif dan kurang melakukan penangkapan dalam perang menentang rasuah di Sabah?

“Rakyat Malaysia, Sabah khususnya berhak untuk mengetahui mengapa SPRM seolah-olah tidak melakukan apa-apa di negeri ini.

“Sedangkan Sabah mendahului sebagai pentadbiran yang mempunyai salah satu masalah rasuah paling teruk,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam ‘Solidariti bersama Junz Wong di Kota Kinabalu, semalam

Awal minggu ini, dilaporkan bahawa SPRM telah bertindak menangkap seorang pegawai kanan polis yang juga ketua ibu pejabat daerah di Sarawak kerana terlibat dalam aktiviti pembalakan haram dan dipercayai menerima rasuah sebanyak RM16,000.

SPRM menganggarkan sebanyak RM100 juta telah hilang akibat aktiviti pembalakan haram di Sarawak.

Namun, jumlah itu hanyalah sebilangan kecil berbanding puluhan bilion ringgit yang diperoleh dari kegiatan rasuah setiap tahun di negeri tersebut.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menegaskan, rakyat berhak untuk mengajukan pertanyaan mengenai rekod buruk kerajaan dalam usaha melawan rasuah terutama apabila Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) setiap tahun menunjukkan Malaysia semakin ke belakang.

“Mengapa SPRM hanya menangkap ‘lalat’, di mana ‘harimaunya? Di mana ‘jerungnya’?

“Tidak ada satu ‘jerung’ pun yang pernah ditangkap selama 33 tahun di bawah pemerintahan tiga Perdana Menteri (Mahathir, Abdullah dan Najib).

“Keadaan ini sangat berbeza di China dan Indonesia, di mana penjara mereka dipenuhi ‘Jerung’, ‘harimau’ dan ‘lalat’,” ujarnya.

Indonesia baru-baru ini mendapat perhatian pelbagai media dunia berhubung kesungguhan dan komitmen mereka melawan rasuah dengan pelantikan Presiden baru, Joko Widodo (Jokowi).

Jokowi telah mengarahkan agensi anti-rasuah Indonesia Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) supaya menilai calon kabinetnya.

“Jokowi juga telah menggugurkan lapan calon kabinetnya selepas KPK membantah pelantikan mereka kerana pembabitan dalam rasuah dan mengemukakan nama baru yang baik dan bersih.

“Apakah Najib boleh mencontohi Jokowi dan menyerahkan pelantikan kabinet baru kepada SPRM untuk membersih serta menggugurkan mereka yang gagal dalam siasatan SPRM?

“Pengisytiharan harta oleh menteri-menteri kabinet kepada Najib perlu dilakukan kerana rekod mereka yang langsung tidak memuaskan dan tidak dapat diterima dalam era baru tadbir urus baik sama ada di Malaysia atau di dunia,” tegasnya. -Roketkini.com