Berita

DAP isytihar ‘Deklarasi Bintulu’ kembalikan darjat Sarawak dalam Persekutuan Malaysia

BINTULU, 27 OKT: Melalui pengisytiharan ‘Deklarasi Bintulu’, DAP Sarawak menyatakan komitmen untuk mengembalikan negeri itu kepada darjat asalnya – rakan setaraf dalam penubuhan Persekutuan Malaysia dan bukan sekadar sebuah negeri di dalamnya.

Deklarasi itu menggariskan dua tema utama; iaitu mengembalikan darjat yang sama dengan Semenanjung Malaysia dan mewujudkan kesaksamaan di kalangan penduduk negeri.

“Bapa Kemerdekaan mahu keempat-empat wilayah (Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura) dilayan sama rata. (Namun) Selepas 51 tahun, Sarawak hanya menjadi satu daripada 13 negeri di Malaysia dan ‘dijajah’ kuasa Pusat,” sebut Deklarasi itu.

Untuk mengembalikan kedudukan itu, DAP Sarawak mendesak beberapa kuasa tertentu dikembalikan, serta langkah afirmatif dilaksanakan demi pembangunan negeri yang kini 20 tahun di belakang Semenanjung Malaysia.

“Kerajaan Pusat perlu memulangkan 20 peratus royalti minyak dan gas, serta 50 peratus hasil cukai yang dikutip di Sarawak kepada kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Deklarasi itu dibacakan ketika penutup Konvensyen Tahunan DAP Sarawak di sini, semalam.

Langkah lain bagi mengembalikan darjat sama rata dengan Semenanjung Malaysia adalah:

  • Kerajaan Persekutuan menghormati semangat sebenar penubuhan Malaysia sebagai negara sekular, di mana kebebasan agama dipelihara;

  • menyemak semula Jadual Kesembilan Perlembagaan persekutuan untuk meletakkan bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri, serta memberikan sebahagian autonomi kepada polis;

  • mewujudkan jawatan Menteri Hal-ehwal Sarawak yang memberi kata putus berkenaan negeri di peringkat persekutuan; dan

  • meletakkan Ketua Hakim Sabah dan Sawarak setaraf dengan Ketua Hakim Malaya, dengan kuasa autonomi dalam belanjawan dan pentadbiran kehakiman di negeri masing-masing.

Bagi menjamin kesaksamaan buat rakyat Sarawak, DAP antara lain menggariskan:

  • Prinsip ketelusan dan kesaksamaan dalam kerajaan negeri, seperti melaksanakan sistem tender terbuka, terutama berhubung soal perladangan dan pembalakan;

  • dasar tanah yang adil dan sama-rata dengan melindungi hak tanah adat kepada penduduk pribumi serta dasar di mana kerajaan menganugerahkan 20-30 ekar tanah kepada keluarga di pedalaman serta bantuan kewangan untuk mengusahakannya;

  • reformasi ke atas sistem pengangkutan awam dengan mengambil alih syarikat bas di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu;

  • pengurusan alam sekitar dan sumber asli secara lestari untuk generasi akan datang;

  • sistem pendidikan yang inklusif untuk memenuhi keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama, dengan mendanai sekolah vernakular, menghidupkan kembali sekolah mubaligh dan biasiswa berasaskan meritokrasi dan keadilan sosial; dan

  • Dana Biaya Dayak (Dayak Endowment Fund) bernilai RM1 juta untuk mengangkat tahap pendidikan dan kegiatan perdagangan masyarakat Dayak. – Roketkini.com